Amaran Trump kepada Israel: "Jangan campur tangan di Syria"

Trump (kiri) berkata, Sharaa “sedang berusaha keras memastikan perkara baik berlaku dan kedua-dua negara - Syria dan Israel - dapat menjalin hubungan yang panjang dan makmur.”
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Isnin memberi amaran kepada Israel supaya tidak menggugat kestabilan Syria dan kepimpinan baharunya, susulan operasi berdarah oleh pasukan Israel di selatan negara itu beberapa hari lalu.
“Adalah sangat penting untuk Israel mengekalkan dialog yang kukuh dan telus dengan Syria serta memastikan tiada tindakan yang boleh mengganggu usaha Syria menjadi sebuah negara makmur,” kata Trump menerusi platform Truth Social.
Trump menyatakan beliau “amat berpuas hati” dengan prestasi Syria di bawah Presiden Ahmad Al-Sharaa, yang melakukan lawatan bersejarah ke White House pada November lalu.
Sejak setahun lalu, Trump giat mengusahakan pakatan keselamatan antara Israel dan Syria selepas gabungan pimpinan Sharaa menumbangkan pemerintah lama, Bashar Assad.
Bagaimanapun, ketegangan meningkat susulan ratusan serangan Israel ke atas Syria.
Dalam serangan paling berdarah setakat ini, 13 orang terbunuh pada Jumaat lalu dalam operasi tentera Israel di selatan Syria, yang disasarkan terhadap kumpulan ekstremis.
Trump berkata, Sharaa “sedang berusaha keras memastikan perkara baik berlaku dan kedua-dua negara - Syria dan Israel - dapat menjalin hubungan yang panjang dan makmur.”
Beliau menambah, Amerika Syarikat “melakukan segala yang termampu untuk memastikan kerajaan Syria terus melaksanakan rancangan membangunkan semula negara yang dilanda perang.”
Hubungan baik antara Syria dan Israel, jelas Trump, akan mengukuhkan usahanya mencapai keamanan lebih meluas di Timur Tengah selepas gencatan senjata rapuh di Gaza pada Oktober lalu. - Agensi
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


