Amazon akan berhentikan kira-kira 14,000 pekerja

Amazon dalam satu catatan blog berkata pemberhentian itu dilaksanakan bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan menjadikan syarikat lebih cekap. - Gambar fail Reuters/Brendan McDermid
ISTANBUL: Gergasi teknologi dan e-dagang Amerika Syarikat (AS) Amazon pada Selasa mengumumkan bahawa ia merancang untuk memberhentikan kira-kira 14,000 pekerja korporat, langkah terbaharu dalam inisiatif pengurangan kos jangka panjang syarikat itu, lapor Anadolu Ajansi.
Amazon dalam satu catatan blog berkata pemberhentian itu dilaksanakan bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan menjadikan syarikat lebih cekap ketika ia berhasrat untuk melabur dalam "pertaruhan utama kami", termasuk kecerdasan buatan (AI) generatif.
"Langkah ini termasuk pengurangan di beberapa bahagian dan pengambilan pekerja di bahagian lain, namun secara keseluruhan ia akan mengurangkan tenaga kerja korporat kami sebanyak kira-kira 14,000 jawatan," menurut kenyataan itu.
"Generasi AI membolehkan syarikat berinovasi dengan lebih pantas berbanding sebelumnya - dalam segmen pasaran sedia ada dan baharu," kata Naib Presiden Kanan Bahagian Pengalaman Pekerja dan Teknologi Amazon, Beth Galetti.
Menurut CNBC, pemberhentian itu dijangka menjadi pemberhentian pekerja korporat terbesar dalam sejarah Amazon.
Dengan hampir 1.54 juta pekerja di seluruh dunia setakat akhir suku kedua tahun ini, Amazon ialah majikan swasta kedua terbesar di AS.
Sebahagian besar jumlah itu terdiri daripada pekerja gudang, manakala lebih 350,000 adalah pekerja korporat dan teknologi maklumat (IT). Pemberhentian 14,000 pekerja itu mewakili hampir empat peratus daripada tenaga kerja syarikat.
Menurut Amazon, walaupun syarikat akan terus mengambil pekerja dalam "bidang strategik utama", ia akan terus memberhentikan pekerja pada tahun akan datang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


