Skip to main content

Dunia

Taiwan pertimbang larangan eksport cip AI ke China

41689688382_Microcip.jpg
Langkah tersebut bertujuan mengekang aktiviti penyeludupan perkakasan teknologi tinggi ke pasaran China yang sebelum ini tidak dianggap satu kesalahan di bawah undang-undang domestik Taiwan. -Gambar fail

TAIPEI: Kerajaan Taiwan dilapor sedang mempertimbangkan larangan eksport menyeluruh bagi cip kecerdasan buatan (AI) ke China, dengan pelanggaran terhadap sekatan itu berpotensi diklasifikasikan sebagai kesalahan jenayah.

Menurut laporan Bloomberg, langkah tersebut bertujuan mengekang aktiviti penyeludupan perkakasan teknologi tinggi ke pasaran China yang sebelum ini tidak dianggap satu kesalahan di bawah undang-undang domestik Taiwan.

Sebelum ini, sekatan eksport hanya tertumpu kepada syarikat tertentu seperti Huawei dan SMIC.

Selain itu, Taiwan turut menimbang pelaksanaan had eksport berdasarkan keupayaan kuasa pemprosesan cip, selaras dengan pendekatan yang digunakan oleh Amerika Syarikat (AS).

Di bawah cadangan tersebut, hanya cip yang diubah suai khusus, seperti Nvidia H200, dibenarkan untuk pasaran China.

Isu ketirisan rantaian bekalan turut menjadi perhatian selepas cip keluaran Taiwan Semiconductor Manufacturing Co (TSMC) dilapor digunakan dalam pemproses AI Huawei Ascend 910B.

Situasi itu turut mengundang tindakan daripada pihak berkuasa AS terhadap syarikat berkaitan.

Aktiviti penyeludupan cip ke China juga dilaporkan melalui beberapa hab serantau termasuk Singapura dan Johor, Malaysia.

Susulan itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia telah memperkenalkan syarat permit bagi pelayan AI, termasuk untuk tujuan transit.

Pada Mac lalu, Jabatan Kehakiman AS turut mendakwa tiga individu yang mempunyai kaitan dengan operasi syarikat teknologi di Taiwan atas tuduhan membantu menyeludup teknologi AI bernilai kira-kira AS$2.5 bilion ke China.

 

Must Watch Video

Advertisement