JOHANNESBURG: Sekurang-kurangnya 12 orang maut manakala sembilan lagi cedera dalam satu insiden tembakan di kawasan penempatan setinggan di timur Johannesburg, Afrika Selatan, malam tadi.
Menurut kenyataan Perkhidmatan Polis Afrika Selatan (SAPS), pihak berkuasa menerima laporan mengenai kejadian tersebut di penempatan Jumpers di Cleveland kira-kira pukul 11.10 malam waktu tempatan, lapor BBC.
Siasatan awal mendapati lapan lelaki dan tiga wanita maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi lelaki meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.
Sembilan mangsa yang cedera kini menerima rawatan di beberapa fasiliti perubatan di wilayah Gauteng.
Polis memaklumkan lebih 10 lelaki bersenjata tiba di lokasi dengan menaiki van mini Toyota Quantum sebelum menceroboh masuk melalui dua laluan utama dan melepaskan tembakan secara rambang di beberapa kawasan.
Suspek kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan sama.
Setakat ini, motif serangan masih belum dikenal pasti dan tiada tangkapan dibuat.
Pihak polis mengerahkan pasukan penyiasat, forensik dan unit risikan untuk mengesan suspek serta menyiasat kejadian tersebut.