Amerika ubah pendirian, mahu sertai Sidang Kemuncak G20 dan akhiri boikot - Presiden Afrika Selatan

Amerika Syarikat mengubah pendirian untuk memboikot Sidang Kemuncak G20 di Johannesburg hujung minggu ini dan berhasrat menyertai persidangan itu melalui pendekatan tertentu.
JOHANNESBURG : Amerika Syarikat (AS) dilaporkan telah mengubah pendirian untuk memboikot Sidang Kemuncak G20 di Johannesburg hujung minggu ini dan berhasrat menyertai persidangan itu melalui pendekatan tertentu, kata Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa pada Khamis.
Washington sebelum ini menegaskan tidak akan mengambil bahagian dalam sidang pada 22 hingga 23 November ini kerana membantah keutamaan mesyuarat yang ditetapkan oleh Afrika Selatan selaku pengerusi bergilir G20 tahun ini.
“Kami telah menerima notis daripada Amerika Syarikat, notis yang masih dalam perbincangan dengan mereka, mengenai perubahan pendirian untuk menyertai atau terlibat dalam sidang kemuncak melalui cara lain,” kata Ramaphosa kepada media.
“Perkara ini berlaku pada saat-saat akhir sebelum sidang bermula. Oleh itu, kami perlu meneliti sejauh mana ia praktikal dan apa maksud sebenar penyertaan tersebut,” jelasnya.
Dalam masa sama, Afrika Selatan, jelas beliau, melihat perkembangan itu sebagai satu “tanda positif”, kata Presiden berkenaan.
“Semua negara hadir dan Amerika Syarikat sebagai ekonomi terbesar dunia, perlu berada di sini. Jadi kami gembira mendengar ada perubahan pendekatan dan kami masih berbincang bagaimana ia akan dilaksanakan,” tambahnya.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini dilaporkan memberi tekanan terhadap Afrika Selatan dalam beberapa isu sejak kembali ke White House pada Januari, termasuk membuat dakwaan tidak berasas bahawa golongan kulit putih di negara itu sedang “dibunuh dan disembelih secara sistematik”.
- Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


