Ringkasan AI
- Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memuat naik hantaran palsu mengenai pegawai Imigresen Malaysia.
- Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM500,000.
- Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.
KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memuat naik hantaran palsu mendakwa seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia menuduhnya mencuri sarung pasport dalam insiden yang tular di media sosial pada Ogos lepas.
Tun Nur Syalisa Muhamad Yusni, 28, didakwa memulakan penghantaran komunikasi palsu mendakwa pegawai imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu Sentral menuduhnya mencuri sarung pasport dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui perkhidmatan aplikasi Threads menggunakan nama akaun “LisaYusni” pada 21 Ogos lepas.
Mengikut pertuduhan, hantaran itu telah dibaca di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu Sentral, Dang Wangi dekat sini pada 9 pagi 24 Ogos lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, dan boleh didenda RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin namun peguam Mohammad Shafiee Afendi memohon jaminan rendah RM3,000 atas alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri kerana tinggal bersama dengan keluarga dan mempunyai alamat tetap di sini.
Hakim Muhammad Ilmami Ahmad membenarkan wanita itu diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, dan menetapkan 11 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA