GAZA: Dua lagi wartawan Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza hari ini, menyaksikan angka kematian sejak 7 Oktober lalu meningkat kepada 109 orang.'

Pejabat Media Kerajaan dalam kenyataan memaklumkan salah seorang mangsa dikenal pasti sebagai Hamza Wael al-Dahdouh, yang juga merupakan anak lelaki Ketua Biro Al Jazeera Gaza, Wael Al-Dahdouh.

Seorang lagi mangsa disahkan sebagai rakan setugas Hamza, Mustafa Thuraya.

Kedua-dua mangsa dilaporkan meninggal dunia selepas kenderaan mereka terkena peluru berpandu yang ditembak oleh Israel di Barat Khan Younis.

Susulan serangan tersebut, Pejabat Media Kerajaan mengecam sekeras-kerasnya dengan menyifatkan ia  sebagai jenayah kejam yang dilakukan tentera rejim Israel.

Pejabat itu turut menggesa semua kesatuan akhbar, hak asasi manusia dan badan undang-undang agak mengutuk jenayah berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan Wael Dahdouh, 52, kehilangan isteri, anak perempuan serta cucunya pada bulan Oktober lalu dalam serangan udara Israel yang mengenai rumahnya.