PATTANI: Penguasaan subjek Sains dan Matematik dalam kalangan pelajar Melayu di Selatan Thailand masih rendah dan dikhuatiri boleh menyebabkan komuniti berkenaan terus ketinggalan.

Penasihat kepada Menteri Pendidikan Tinggi Thailand, dalam bidang Sains, Penyelidikan dan Inovasi, Dr Zoraida Zainal Abidin mengakui masalah penguasaan bahasa Thai yang lemah menjadi sebab kurangnya sambutan pelajar-pelajar tempatan untuk mengikuti subjek Matematik dan Sains.

Tambahnya, masalah enrolmen pendidikan tinggi di wilayah-wilayah Yala, Narathiwat, dan Pattani ada kaitan rapat dengan masalah kemiskinan di wilayah-wilayah berkenaan.

“Pelajar tidak begitu berminat untuk mempelajari Sains dan Matematik, mereka kata subjek berkenaan susah.

"Pertama disebabkan oleh penguasaan bahasa Thai. Bahasa ibunda mereka ialah bahasa Melayu, tetapi di sekolah mereka harus menggunakan bahasa Thai,” jelas Dr Zoraida ketika ditemui semasa program Silang Budaya anjuran Majlis Dakwah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) di Pattani, Thailand, baru-baru ini.

Pada masa sama beliau mahukan pelajar-pelajar Melayu di Selatan Thai untuk menguasai bahasa Melayu dan bahasa Inggeris untuk memudahkan interaksi dengan negara-negara jiran seperti Malaysia, Singapura dan Indonesia.

“Loghat bahasa Melayu tempatan tidak boleh digunakan untuk berinteraksi dengan masyarakat di Malaysia, Indonesia dan Singapura, jadi saya berharap supaya ada kursus untuk masyarakat tempatan mempelajari bahasa Melayu peringkat tinggi untuk digunakan dalam urus niaga dan dalam bidang ekonomi,” tambahnya.

Beliau percaya, jika sektor pendidikan dan penguasaan ilmu dalam kalangan anak-anak tempatan dapat ditingkatkan, ia sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada proses keamanan di selatan Thailand.

Data terbaharu daripada UNICEF yang diterbitkan pada September lalu menunjukkan kadar keciciran peringkat sekolah menengah di Selatan Thailand adalah yang tertinggi negara berkenaan, dengan Narathiwat mencatatkan paras 21 peratus dan Pattani 20 peratus kadar keciciran, berbanding purata nasional 15 peratus.