NEW DELHI: Hamza Shehbaz yang juga anak Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dilantik Ketua Menteri baharu wilayah Punjab meskipun berlaku kekecohan ketika proses pengundian.

Wilayah Punjab didiami lebih separuh daripada 220 juta penduduk Pakistan serta merupakan kunci utama kepada pemerintahan kerajaan Persekutuan di Islamabad.

Hamza, 47, ketua parti Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N), memperoleh 197 undi daripada 371 Ahli Parlimen dalam merebut jawatan Ketua Menteri pada Sabtu.

Undian diboikot parti bekas Perdana Menteri, Imran Khan, parti Tehreek-e-Insaf (PTI) dan sekutunya.

Polis terpaksa campur tangan meleraikan pergaduhan antara penyokong Hamza dan pesaingnya, Chaudhry Parvez Elahi.

Chaudhry Parvez mengalami kecederaan dan Pemangku Speaker Dewan, Dost Muhammad Mazari turut dikasari dalam kejadian itu.

Liga Muslim Pakistan (Q) pimpinan Chaudhry Parvez bersekutu dengan PTI, memerintah Punjab sebelum berlaku peralihan kuasa.

Pemimpin PTI Usman Buzdar meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Punjab untuk memberi laluan kepada Chaudhry Parvez menggantikannya ketika gabungan parti politik itu cuba menyelamatkan kerajaan pimpinan Imran di tengah-tengah pembelotan.

Pertukaran kerajaan di Punjab dikaitkan dengan perebutan kuasa menyaksikan Imran digulingkan sebagai perdana menteri pada 9 April dalam usul undi tidak percaya.

Imran kini sibuk meraih sokongan popular di seluruh negara dan menuntut pilihan raya segera diadakan.

Bekas Perdana Menteri itu berucap pada perhimpunan besar-besaran di bandar paling ramai penduduk Pakistan dan hab perniagaan Karachi pada malam Sabtu.

Beliau mengulangi tuduhan bahawa kerajaannya digulingkan negara asing yang mengadakan pakatan sulit dengan Ahli Parlimen tempatan. - BERNAMA