Skip to main content

Dunia

Ancaman keselamatan di Selat Hormuz akibat serangan AS-Israel, Iran beritahu India

FILE PHOTO: Tankers are seen off the coast of Fujairah, as Iran vows to fire on ships transiting the Strait of Hormuz, amid the U.S.-Israel conflict with Iran, in Fujairah, United Arab Emirates, March 3, 2026. REUTERS/Amr Alfiky/File Photo
Iran memberitahu India bahawa ancaman keselamatan di Selat Hormuz berpunca daripada serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap negaranya. - Foto Reuters

NEW DELHI: Menteri Luar Iran Abbas Araghchi memberitahu Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar pada Selasa bahawa ancaman keselamatan di Selat Hormuz berpunca daripada serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap negaranya.

Araghchi menyampaikan perkara itu dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari India pada Selasa, menurut Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan pada Rabu.

Advertisement

Kedua-dua menteri luar itu turut membincangkan perkembangan serantau serta “kesan pencerobohan ketenteraan rejim AS dan Israel terhadap keselamatan perkapalan serta pergerakan kapal melalui Selat Hormuz”.

Pergerakan kapal tangki melalui laluan laut penting di sepanjang sempadan selatan Iran itu merosot dengan ketara susulan permusuhan ketenteraan yang semakin memuncak apabila Tehran mengancam untuk menyerang kapal yang mempunyai kaitan dengan AS dan Israel.

Harga minyak mentah global melonjak berikutan gangguan terhadap perdagangan tenaga serta kebimbangan berhubung kemungkinan berlakunya krisis bekalan minyak dan gas.

Menteri luar Iran itu menyatakan bahawa “situasi tidak selamat dan masalah yang timbul terhadap perkapalan di Teluk Parsi adalah akibat tindakan agresif dan menggugat kestabilan oleh Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa mesti mempertanggungjawabkan AS terhadap situasi ini,” menurut kenyataan kementerian itu.

Araghchi turut mengetengahkan insiden pengeboman Sekolah “Shajareh Tayyebeh” di bandar Minab di selatan Iran pada 28 Feb lepas ketika AS dan Israel memulakan serangan mereka ke atas Iran.

Sekurang-kurangnya 170 orang, kebanyakannya kanak-kanak, terkorban dalam pengeboman sekolah itu.

Araghchi memberitahu Jaishankar bahawa dunia mempunyai “tanggungjawab untuk mengecam” serangan berkenaan.

“Menteri luar itu menyifatkan tindakan agresif oleh AS dan rejim Israel sebagai pelanggaran terhadap prinsip serta peraturan asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa, sambil menyatakan bahawa semua kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mengecam pencerobohan ketenteraan dan pelanggaran undang-undang yang terang-terangan ini,” menurut kementerian Iran itu.

Jaishankar dalam hantaran di platform X berkata beliau mengadakan “perbualan terperinci” dengan menteri luar Iran mengenai perkembangan terkini berkaitan konflik yang sedang berlaku.

Bagaimanapun, menteri luar India itu tidak memberikan butiran mengenai perkara yang dibincangkan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video