Skip to main content

Dunia

Penjaga zoo Jepun mengaku bunuh isteri, bakar mayat dalam relau haiwan

Tatsuya Suzuki/Zoo Asahiyama
Suspek, Tatsuya Suzuki, 33, ditahan pada Khamis susulan penemuan serpihan mayat manusia di dalam krematorium haiwan milik Zoo Asahiyama (foto). -Gambar fail/Bernama

ASAHIKAWA: Seorang penjaga zoo di Hokkaido ditahan polis selepas mengaku membunuh isterinya dan membakar mayat mangsa di dalam relau pembakaran bangkai haiwan di tempat kerjanya, dalam usaha melupuskan bukti.

Suspek, Tatsuya Suzuki, 33, ditahan pada Khamis susulan penemuan serpihan mayat manusia di dalam krematorium haiwan milik Zoo Asahiyama.

Advertisement

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai membawa mayat isterinya ke zoo perbandaran berkenaan pada lewat malam penghujung Mac, sebelum membakarnya secara rahsia menggunakan kemudahan pembakaran bangkai haiwan.

Kes itu terbongkar selepas ahli keluarga mangsa membuat laporan kehilangan pada awal April.

Suspek pada mulanya mendakwa isterinya melarikan diri dari rumah, namun akhirnya membuat pengakuan selepas disoal siasat oleh pihak berkuasa.

Ekoran insiden itu, pengurusan Zoo Asahiyama mengambil keputusan untuk menangguhkan pembukaan musim panas, yang dijadualkan berlangsung baru-baru ini.

Datuk Bandar Asahikawa, Hirosuke Imazu, dalam satu kenyataan rasmi menyatakan rasa kesal dan memohon maaf kepada penduduk bandar itu susulan penglibatan seorang kakitangan awam dalam jenayah kejam berkenaan.

Pihak polis kini sedang menjalankan ujian DNA ke atas serpihan tulang yang ditemui bagi mengesahkan identiti mangsa, di samping menyiasat motif sebenar pembunuhan.

Suspek kini berdepan pertuduhan membunuh serta pengabaian mayat mengikut Kanun Keseksaan Jepun.

 

Must Watch Video