Amerika Syarikat (AS) kini memasuki “fasa baharu” dalam usahanya melawan pandemik COVID-19.

Penyelaras Tindakbalas, Pasukan Khas COVID-19 White House, Dr Deborah Birx memberi amaran tersebut berdasarkan jangkitan baharu yang terus meningkat di seluruh negara.

Memetik laporan The Independent, beliau berkata wabak tersebut kini “merebak dalam kadar luar biasa” dan berkata penduduk yang berada di luar bandar “tidak kebal” daripada jangkitan musuh halimunan tersebut.

“Apa yang kami lihat pada hari ini berbeza dengan Mac dan April.

“Ia sudah merebak ke kawasan luar bandar, sama seperti di kawasan bandar.

“Bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, anda tidak kebal atau terlindung daripada wabak ini.

"Pandemik ini sudah berbeza dan ia semakin merebak,” kata Dr Birx.

Beliau berkata demikian susulan kes positif COVID-19 di negara tersebut menghampiri lima juta kes iaitu kes yang paling tinggi direkodkan mana-mana negara di seluruh dunia.

Beliau juga menggesa rakyat AS untuk memakai pelitup muka bagi membantu menghentikan penularan COVID-19.

Sementara itu, Dr Birx memberi amaran bahawa pelancong yang melawat ke destinasi pelancongan popular di AS mungkin akan mempercepatkan penyebaran penyakit berkenaan.

"Sekiranya anda memilih untuk pergi bercuti ke lokasi hot spot, anda benar-benar perlu melindungi mereka yang mempunyai penyakit comorbid dan menganggap seolah-olah anda terjangkit COVID-19,” katanya.

Setakat pagi Selasa (4 Ogos), wabak COVID-19 mengorbankan lebih 158,000 orang dan menjangkiti lebih 4.8 juta di AS.

Brazil mencatatkan jumlah jangkitan kedua tertinggi di dunia iaitu 2.75 juta kes positif dengan 94,702 kes kematian setakat Selasa.

Wabak tersebut kian merebak di AS dalam tempoh beberapa bulan musim panas ini.

Beberapa negeri di selatan dan barat A.S, termasuk Florida, Texas dan California mengalami lonjakan kes jangkitan baharu.

California, negeri yang didiami paling ramai penduduk mengatasi New York pada Julai sebagai kawasan yang paling teruk dilanda wabak COVID-19.

Presiden Trump yang jauh ketinggalan berbanding pesaingnya, Joe Biden, dalam pemilihan presiden telah mencadangkan supaya pemilihan pada November ini ditangguhkan.

Beliau mengemukakan cadangan tersebut atas alasan untuk mengelakkan berlakunya sebarang penipuan dalam pengundian.

Bagaimanapun, presiden tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan penangguhan pilihan raya AS.

Sebarang penundaan memerlukan tindakan Kongres dan ramai ahli Republikan telah bersuara menentang Trump atas tindakannya itu.