LONDON: Andrew Mountbatten‑Windsor, adik kepada Raja Charles III dan bekas "Putera Andrew", ditahan pada Khamis atas dakwaan salah laku.
Laporan media antarabangsa yang memetik kenyataan Polis Thames Valley mengesahkan telah menahan seorang lelaki dalam lingkungan usia 60‑an dari Norfolk. Polis dilapor turut menjalankan pemeriksaan di beberapa lokasi di Berkshire dan Norfolk.
Advertisement
“Selepas penilaian menyeluruh dijalankan, kami kini telah membuka siasatan berhubung dakwaan salah laku ketika memegang jawatan awam.
“Adalah penting untuk kami melindungi integriti dan objektiviti siasatan ini ketika kami bekerjasama dengan rakan-rakan pihak berkuasa lain untuk menyiasat kesalahan yang didakwa ini,” menurut Polis Thames Valley dalam kenyataannya.
Walaupun nama beliau tidak didedahkan selaras garis panduan UK, beberapa media termasuk BBC, ABC News dan The Independent mengesahkan individu tersebut ialah Andrew Mountbatten-Windsor, 66.
Penahanan dilakukan selepas fail siasatan kerajaan Amerika Syarikat mendedahkan kemungkinan Andrew menyerahkan maklumat sensitif kerajaan kepada pesalah seks Jeffrey Epstein ketika berkhidmat sebagai wakil khas perdagangan dan pelaburan UK.
Pendedahan itu membawa kepada semakan rasmi polis terhadap dakwaan salah guna kuasa.
Perdana Menteri UK, Sir Keir Starmer, ketika diminta mengulas, menegaskan bahawa tiada sesiapa pun mengatasi undang‑undang dan siasatan mesti dibiarkan berjalan tanpa campur tangan kerajaan.
Andrew sebelum ini dilucutkan gelaran diraja pada 2025 susulan hubungan rapatnya dengan Epstein.
Beliau pernah menafikan semua tuduhan salah laku, namun tidak memberikan komen terkini selepas penemuan baharu ini.