Skip to main content

Dunia

Andy Burnham lancar reformasi terbesar Britain sejak empat dekad

Britain's newly appointed Prime Minister Andy Burnham waves outside 10 Downing Street with his wife Marie-France van Heel after taking office, in London, Britain, July 20, 2026. REUTERS/Isabel Infantes
Perdana Menteri Britain yang baharu dilantik, Andy Burnham, melambai kepada orang ramai di luar 10 Downing Street bersama isterinya, Marie-France van Heel, selepas secara rasmi memegang jawatan di London.
Advertisement

LONDON: Andy Burnham berjanji melaksanakan pembaharuan terbesar di Britain sejak empat dekad menerusi model politik dan ekonomi baharu bagi mengembalikan kestabilan negara serta memulihkan keyakinan rakyat.

Perdana Menteri Britain yang baharu itu berkata pembaharuan berkenaan akan menjadi titik perubahan buat negara itu selepas berdepan ketidaktentuan politik sepanjang sedekad lalu.

"Kita akan menjadikan detik ini sebagai titik perubahan buat Britain dengan melaksanakan pembaharuan terbesar dalam tempoh 40 tahun. Kita akan memperkenalkan model politik dan ekonomi baharu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sulung di luar 10 Downing Street pada Isnin selepas menerima pelantikan Raja Charles III untuk membentuk kerajaan.

Menurut Burnham, kerajaan baharunya akan membentangkan Pelan Baharu Britain, iaitu pelan pembangunan selama 10 tahun yang menggariskan hala tuju negara.

Beliau berkata beberapa langkah segera bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup akan diumumkan seawal Selasa, termasuk kaedah pembiayaan bagi setiap inisiatif.

Selain itu, Burnham berjanji memperbaharui sistem pendidikan, memperluaskan sokongan kesihatan mental kepada golongan muda dan membina lebih banyak rumah majlis tempatan.

“Kita akan membantu lebih ramai golongan muda mendapatkan pekerjaan dengan memperbaharui sistem pendidikan.

“Serta menyediakan sokongan yang lebih menyeluruh, termasuk perkhidmatan kesihatan mental. Kita juga akan membina lebih banyak rumah majlis tempatan,” katanya.

Beliau turut mengumumkan arahan pertamanya sebagai Perdana Menteri ialah menamatkan masalah gelandangan yang tidur di jalanan.

“Kita akan mengubah cara politik dilaksanakan, supaya ia lebih berteraskan kerjasama dan lebih menumpukan kepada penyelesaian masalah, bukannya saling menyalahkan atau mengejar keuntungan politik,” katanya lagi.

Burnham turut mengkritik dasar kerajaan Konservatif pada era 1980-an yang menurutnya menjadi antara punca ketidakseimbangan politik dan ekonomi di Britain.

“Britain telah membuat beberapa keputusan yang silap. Politik dipusatkan, ekonomi diswastakan, dan sebahagian besar kawasan negara mengalami penyahperindustrian, namun sehingga kini masih belum pulih sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Britain supaya bersama-sama membina semula semangat perpaduan, mengembalikan keyakinan terhadap masa depan negara serta membawa kembali harapan.

Burnham mengambil alih pentadbiran daripada Keir Starmer yang telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 22 Jun lalu selepas berdepan tekanan politik yang semakin memuncak daripada dalam Parti Buruh.

Tekanan itu berpunca daripada prestasi buruk parti dalam pilihan raya tempatan serta kemerosotan sokongan terhadap kerajaan, sekali gus mencetuskan desakan supaya kepimpinan parti ditukar menjelang pilihan raya umum akan datang.

Sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri, Burnham berkhidmat sebagai Datuk Bandar Greater Manchester sejak 2017 dan berjaya mempertahankan jawatan itu sebanyak tiga penggal. 

Beliau turut dikenali sebagai antara tokoh Parti Buruh yang lantang memperjuangkan pemerkasaan kuasa kepada pentadbiran wilayah serta isu kos sara hidup.

Sepanjang kerjaya politiknya, Burnham pernah memegang beberapa portfolio Kabinet, termasuk Setiausaha Kesihatan, Setiausaha Kebudayaan, Media dan Sukan serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri Gordon Brown.

Parti Buruh yang kini menerajui kerajaan Britain ketika ini menguasai 403 daripada 650 kerusi di Dewan Rakyat (House of Commons), sekali gus mengekalkan majoriti yang selesa untuk terus mentadbir negara.

Must Watch Video

Advertisement