ISTANBUL: ANGKA kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh dahsyat di Nepal mencecah 623 orang pada Sabtu, ketika pasukan mencari dan menyelamat terus menemukan mayat yang dihanyutkan arus deras sungai.
Polis Nepal mengesahkan bahawa mereka telah menemukan 616 mayat, termasuk 233 di Chitwan dan 158 di Nawalparasi Timur, menjadikannya antara kawasan paling teruk terjejas akibat bencana itu, lapor Anadolu Ajansi.
Angka korban itu termasuk puluhan mangsa yang ditemui di Gorkha, Dhading dan Nuwakot susulan limpahan air sungai Bhotekoshi dan Trishuli, sungai utama yang berpunca daripada banjaran Himalaya.
Sementara itu, pihak berkuasa memberitahu, jumlah mangsa yang masih hilang meningkat melepasi 2,400 orang, memperlihatkan skala kemusnahan luar biasa beberapa hari selepas gelombang air dan serpihan lumpur menyerupai tsunami menghanyutkan perkampungan serta meragut ratusan nyawa.
Pasukan penyelamat terus berdepan cabaran sukar untuk menembusi kawasan berlumpur bagi mencari mangsa yang terselamat, ketika ancaman banjir baharu masih membayangi operasi kecemasan.