LUCKNOW: Hampir 170 orang dilaporkan meninggal dunia dalam dua negeri terpadat di India dalam beberapa hari ini akibat gelombang haba yang teruk, menurut pihak berkuasa pada hari Isnin.

Media tempatan turut melaporkan, hospital di beberapa negeri sudah tidak mampu menampung pesakit akibat gangguan bekalan kuasa tambahan yang semakin terjejas.

Menurut laporan berita tempatan, di negeri utara Uttar Pradesh, 119 orang telah meninggal dunia akibat penyakit berkaitan haba dalam beberapa hari terakhir ini.

Manakala di negeri jiran, Bihar, sebanyak 47 kematian direkodkan akibat gelombang haba.

Selain itu, hospital terbesar di daerah Ballia di Uttar Pradesh tidak mampu menampung lagi pesakit baharu.

Bilik mayat hospital tersebut sudah mulai sesak setelah 54 orang dilaporkan terkorban.

Hospital di daerah itu turut mengalami masalah kerosakan penghawa dingin, dan unit penyejuk yang dipasang tidak berfungsi dengan baik disebabkan oleh ketidakstabilan bekalan kuasa.

Satu gelombang haba diisytiharkan di India apabila suhu melebihi sekurang-kurangnya 4.5 darjah Celsius daripada normal atau jika suhu melebihi 45 darjah Celsius.

Walaupun amaran telah dikeluarkan, pihak berkuasa kerajaan tidak meminta orang ramai bersedia menghadapi haba sehingga hari Ahad, ketika bilangan kematian mula meningkat.

Tambahan kepada tekanan haba ialah gangguan bekalan kuasa yang berterusan di seluruh kawasan, menyebabkan orang ramai tidak mempunyai bekalan air, kipas angin atau penghawa dingin.