MADRID: Angka korban akibat kebakaran hutan di wilayah Almeria, tenggara Sepanyol meningkat kepada 13 orang, manakala pihak berkuasa wilayah pada Ahad mengumumkan kebakaran berjaya dikawal, lapor Xinhua.
Data rasmi terkini menunjukkan tujuh mangsa yang cedera masih dirawat di hospital, dengan tiga daripadanya dalam keadaan serius.
Menurut penyiar awam Sepanyol RTVE, ramai mangsa yang terjejas akibat kebakaran itu ialah warga asing.
Kebakaran hutan tercetus pada Khamis berhampiran perbandaran Los Gallardos di Almeria, yang terletak dalam komuniti autonomi Andalusia di selatan Sepanyol dan memusnahkan kira-kira 7,000 hektar kawasan.
Sepuluh orang yang dilaporkan hilang masih belum ditemukan.
Pihak berkuasa wilayah berkata kebakaran berjaya dikawal membolehkan tahap tindak balas kecemasan diturunkan, selain kira-kira 1,000 mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
Ketua kerajaan wilayah Andalusia Juanma Moreno pada Ahad berkata kebakaran itu tidak lagi merebak dan berjaya dikekang dalam perimeter ditetapkan.
-- BERNAMA-XINHUA