Angka korban kebakaran pusat beli-belah di Pakistan meningkat kepada 60

Ratusan anggota bomba mengambil masa lebih 24 jam untuk memadamkan api dan operasi menyelamat telah berterusan, sejak kejadian yang berlaku pada Sabtu itu. - Gambar/ AP
ISLAMABAD: Kira-kira 60 orang disahkan maut dalam kebakaran besar di sebuah pusat beli-belah di Pakistan, kata pegawai pada Khamis, dengan pasukan penyelamat masih mencari mayat yang hilang selepas puluhan jasad ditemukan semalaman, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pegawai bandar Javed Nabi berkata baki mayat kira-kira 30 orang ditemukan beberapa hari selepas kebakaran berlaku di bandar selatan Karachi pada Sabtu.
"Kami percaya kira-kira 30 orang masih belum ditemukan," kata pegawai penyelamat Mohamed Amin. "Tiada harapan untuk menemui sesiapa yang masih hidup."
Ujian DNA ke atas sisa mayat, kebanyakannya anggota badan dan tulang, sedang dijalankan untuk mengenal pasti si mati, kata pakar bedah polis, Dr Sumaiya Syed, yang memberi amaran bahawa proses itu boleh mengambil masa beberapa hari.
Kebakaran itu meletus di sebuah pusat beli-belah bertingkat, memerangkap puluhan peniaga dan pembeli di dalam premis tersebut yang tidak mempunyai pintu keluar kecemasan.
Ratusan anggota bomba mengambil masa lebih 24 jam untuk memadamkan api dan operasi menyelamat telah berterusan sejak itu.
Pusat beli-belah itu diluluskan untuk 400 kedai tetapi menempatkan kira-kira 1,200 kedai, kebanyakannya dipenuhi dengan pakaian, kosmetik, peralatan elektrik dan bahan kimia.
Kebakaran di bangunan kediaman dan komersial kerap berlaku di Pakistan, iaitu banyak bangunan tinggi beroperasi tanpa sistem kebakaran dan keselamatan yang diperakui.
Jabatan bomba sering kekurangan kakitangan dan tidak dilengkapi dengan baik, mengehadkan keupayaan mereka untuk bertindak balas terhadap kecemasan berskala besar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


