Pihak berkuasa di Mesir perlu mengadakan dialog secara serius yang melibatkan semua pihak berkepentingan untuk mencari jalan penyatuan dan merangka satu solusi yang berkesan dan berpanjangan bagi menyelesaikan konflik yang berlaku.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia berharap agar penyelesaian secara damai dapat dicapai.

Selain itu, beliau juga menegaskan Malaysia turut menggesa semua pihak tidak memilih jalan keganasan dalam mencari penyelesaian.

"Kerajaan Malaysia melahirkan kebimbangan yang mendalam ke atas situasi semasa yang berlaku di Mesir yang telah mengorbankan banyak nyawa dan ribuan yang lain cedera.

"Malaysia berharap agar penyelesaian secara damai dapat dicapai serta menggesa semua pihak agar tidak memilih jalan keganasan," katanya dalam satu kenyataan media yang diedarkan hari ini.

Katanya, sehingga kini semua rakyat Malaysia yang berada di Mesir berada dalam keadaan baik dan selamat.

"Mereka diminta untuk terus mematuhi garis panduan keselamatan yang telah dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Anifah berkata rakyat Malaysia telah diingatkan agar tidak mendekati kawasan berisiko konflik dan tidak menyertai sebarang demonstrasi.

Beliau menjelaskan Wisma Putra akan terus memantau situasi di Mesir secara dekat bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di sana terus terjamin.

Situasi di Mesir kini dilaporkan semakin tegang di mana angka kematian akibat pertempuran antara puak penentang Morsi dan puak pro Morsi dikatakan sudah mencecah lebih 75 orang manakalan jumlah yang cedera kini mencecah 1000 orang.

Pertempuran antara dua puak ini berlaku akibat tunjuk perasaan yang diadakan sejak Presiden Mohamad Morsi digulingkan 3 Jun lalu.

Tunjuk perasaan itu di sifatkan yang terbesar pernah diadakan dalam tempoh dua tahun setengah sejak tercetusnya pergolakan politik Mesir.