Skip to main content

Dunia

Anutin mohon maaf atas gangguan bekalan, ikrar bantu golongan rentan

71761394617_AnutinCharnvirakul.jpg
Kerajaan Thailand terpaksa menyemak semula pendekatan dan mengumumkan kenaikan 6 baht seliter pada Khamis berikutan peperangan yang berlarutan serta lonjakan harga minyak global. - Gambar fail

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul memohon maaf pada Sabtu atas gangguan yang berpunca daripada pengurusan harga bahan api, selain menggariskan beberapa langkah bagi mengurangkan kesan terhadap golongan rentan dan sektor utama.

Beliau berkata kerajaan sebelum ini mengekalkan harga bahan api pada tahap rendah bagi mengurangkan beban orang ramai, memandangkan jangkaan awal bahawa konflik di Asia Barat hanya bersifat sementara.

Advertisement

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya terpaksa menyemak semula pendekatan itu dan mengumumkan kenaikan 6 baht seliter pada Khamis berikutan peperangan yang berlarutan serta lonjakan harga minyak global.

“Kerajaan terpaksa melaraskan pendekatan bagi mengurangkan impak, terutamanya terhadap kumpulan berpendapatan rendah, petani, sektor pengangkutan dan perikanan, serta pengusaha industri, bagi  menguruskan kos sara hidup,” katanya kepada pemberita dalam sesi Bertemu Wartawan di Rumah Kerajaan pada Sabtu.

Beliau berkata kerajaan kini memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu hal ehwal luar, keselamatan tenaga, kawalan harga dan langkah pengurangan, dengan penglibatan semua agensi berkaitan bagi menguruskan kesan berkenaan.

Menurutnya, Kementerian Luar telah mempergiat rundingan dengan pelbagai negara, khususnya berkaitan aspek logistik dan pengangkutan maritim.

Mengenai situasi minyak domestik, Anutin memaklumkan masalah kekurangan bekalan di stesen minyak di sesetengah kawasan kini mula pulih.

“Pihak berkuasa telah bekerjasama rapat antara agensi untuk meningkatkan kekerapan pengangkutan, menyuntik rizab minyak ke dalam sistem, membanteras aktiviti menyorok bekalan, serta menamatkan kawalan harga. Langkah-langkah ini telah mengurangkan insentif untuk menyorok barang dan mengaut keuntungan haram, selain mengurangkan beban Dana Bahan Api Minyak,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penamatan kawalan harga itu tidak bermakna liberalisasi harga sepenuhnya.

Kerajaan, katanya, akan terus menyalurkan subsidi melalui Dana Bahan Api Minyak pada tahap yang bersesuaian bagi membantu mengekang penyeludupan merentas sempadan dan memastikan bekalan domestik mencukupi pada harga yang munasabah.

Anutin turut menambah bahawa kerajaan sedang memberi tumpuan kepada kos sara hidup, terutamanya bagi golongan rentan.

“Kementerian Perdagangan telah menetapkan 66 barangan terkawal dan sedang melaksanakan langkah tambahan melalui program 'Thai Helps Thai' serta kedai 'Bendera Biru' yang akan bermula pada 1 April ini bagi meringankan perbelanjaan harian,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video