KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan terus berpegang kepada Dasar Satu China meskipun kenyataannya mengenai Taiwan sebelum ini menerima kritikan daripada pelbagai pihak.
Beliau berkata pendirian itu bukan sesuatu yang baharu kerana Malaysia telah mengamalkan dasar berkenaan sejak era pentadbiran Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
“Dasar Satu China telah diamalkan sejak zaman Tun Abdul Razak. Pada pandangan saya, dasar itu kekal dan kita akan terus mempertahankannya.
“Sudah tentu kita mahu mencari jalan damai apabila boleh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan TikTok Shop Summit Malaysia 2026, di sini, pada Khamis.
Mengulas kritikan terhadap kenyataannya dalam wawancara bersama Al Jazeera, Anwar berkata beliau hanya mengambil pendirian yang konsisten berhubung prinsip integriti wilayah sesebuah negara.
Menurutnya, pendirian itu turut selari dengan pendekatan yang diamalkan Amerika Syarikat yang tidak membenarkan mana-mana wilayahnya berpisah selepas Perang Kemerdekaan Amerika.
“Saya percaya pendirian itu adalah betul. Amerika Syarikat sendiri melalui Perang Kemerdekaan Amerika dan tidak membenarkan mana-mana wilayahnya berpisah.
“Jadi saya hanya mengambil pendirian yang konsisten,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan Malaysia menghormati pendirian China berhubung isu Taiwan, namun berpandangan penyelesaian secara aman merupakan pendekatan terbaik bagi menangani sebarang pertikaian.
Anwar berkata pendirian Malaysia itu juga selaras dengan pengiktirafan antarabangsa terhadap Dasar Satu China yang diterima di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“China diiktiraf sebagai satu negara, manakala satu lagi dirujuk sebagai Taiwan. Jadi apa yang saya nyatakan bukanlah sesuatu yang baharu,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan cara isu itu diketengahkan dalam wawancara berkenaan menjadi antara faktor yang mencetuskan reaksi negatif.
“Mungkin cara soalan itu ditanya atau diketengahkan oleh Al Jazeera yang menimbulkan kritikan tersebut,” katanya.