Skip to main content

Malaysia

Sistem AI berisiko tinggi bakal dikawal lebih ketat - Gobind

Gobind (foto) berkata keutamaan akan diberikan kepada aspek keselamatan untuk memastikan bahawa risiko-risiko yang berkaitan dalam aspek penggunaan teknologi ini sentiasa terkawal. -Foto Bernama
Gobind (foto) berkata keutamaan akan diberikan kepada aspek keselamatan untuk memastikan bahawa risiko-risiko yang berkaitan dalam aspek penggunaan teknologi ini sentiasa terkawal. -Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Sistem AI berisiko tinggi akan dikawal selia lebih ketat untuk melindungi keselamatan, hak asasi dan kesejahteraan individu.
  • Kerajaan sedang merangka Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI berasaskan risiko yang dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada awal 2027.
  • Malaysia AI Safety Institute ditubuhkan untuk mengkaji kawal selia, penanda aras keselamatan, penilaian risiko dan pelaporan insiden berkaitan AI.

KUALA LUMPUR: Sistem kecerdasan buatan (AI) yang berpotensi lebih mudarat bakal berdepan kawal selia lebih ketat, khususnya jika memberi kesan kepada keselamatan, hak asasi dan kesejahteraan individu.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata tahap kawalan dan kewajipan terhadap sesuatu sistem AI akan dinilai berdasarkan risiko yang dibawanya.

Menurutnya, pendekatan itu tidak hanya bergantung kepada klasifikasi risiko mengikut industri yang menggunakan teknologi berkenaan.

“Kerajaan sedar potensi teknologi baharu yang boleh membawa pelbagai impak besar kepada ekonomi, masyarakat dan pentadbiran negara.

“Keutamaan akan diberikan kepada aspek keselamatan untuk memastikan bahawa risiko-risiko yang berkaitan dalam aspek penggunaan teknologi ini sentiasa terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Gobind berkata bagi sistem AI yang semakin berkuasa dan berautonomi, kawalan keselamatan perlu diperkukuhkan sebelum penggunaannya diperluaskan.

Langkah itu merangkumi aspek pengujian, pemantauan, pengawasan manusia (human in the loop) serta mekanisme tindak balas.

Pada masa sama, kerajaan sedang merangka Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada awal 2027.

RUU berkenaan akan menggunakan pendekatan berasaskan risiko dan menjadi kerangka merentas sektor bagi melengkapi undang-undang sektoral sedia ada.

Kerajaan menerusi Kementerian Digital dan AI Malaysia Berhad juga telah menubuhkan Malaysia AI Safety Institute bagi mengkaji mekanisme mengawal selia penerapan model AI dalam operasi organisasi merentas sektor.

Institut itu memberi tumpuan antaranya kepada penanda aras keselamatan, penilaian risiko dan pelaporan insiden bagi membolehkan tindakan pembetulan diambil.

Gobind menegaskan pembangunan AI perlu bergerak seiring dengan peningkatan keupayaan negara dalam mengawal risiko teknologi berkenaan.

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Apakah langkah kerajaan terhadap sistem kecerdasan buatan (AI) yang berisiko tinggi? 
    A: Kerajaan akan mengenakan kawal selia lebih ketat terhadap sistem AI yang berpotensi memberi kesan kepada keselamatan, hak asasi dan kesejahteraan individu.
  • Q: Bagaimana tahap kawalan terhadap sistem AI ditentukan? 
    A: Tahap kawalan dan kewajipan terhadap sistem AI akan dinilai berdasarkan risiko yang dibawanya, bukan hanya mengikut klasifikasi industri.
  • Q: Apakah usaha kerajaan dalam merangka undang-undang berkaitan AI? 
    A: Kerajaan sedang merangka Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada awal 2027, menggunakan pendekatan berasaskan risiko dan melengkapi undang-undang sektoral sedia ada.
  • Q: Apakah peranan Malaysia AI Safety Institute? 
    A: Malaysia AI Safety Institute ditubuhkan untuk mengkaji mekanisme kawal selia penerapan model AI dalam organisasi merentas sektor, dengan tumpuan kepada penanda aras keselamatan, penilaian risiko dan pelaporan insiden.
  • Q: Apakah aspek yang ditekankan dalam kawalan keselamatan AI? 
    A: Aspek yang ditekankan termasuk pengujian, pemantauan, pengawasan manusia (human in the loop) dan mekanisme tindak balas sebelum penggunaan AI diperluaskan.

Must Watch Video

Advertisement