KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul telah menerima surat peletakan jawatan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung pada 2 Okt.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor memaklumkan perkara itu pada permulaan Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.
“Yang Dipertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan kerusi Ahli Parlimen berkenaan selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Pada 2 Okt, Lee mengumumkan peletakan jawatannya tanpa syarat sebagai Ahli Dewan Rakyat.
Sementara itu, Ramli turut memaklumkan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 berkuat kuasa pada 1 Okt.
Susulan itu, beliau berkata Majlis Perkhidmatan Parlimen akan ditubuhkan dan bertanggungjawab bagi perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan Parlimen.
-- BERNAMA