Skip to main content

Dunia

AP, Reuters tuntut keadilan buat wartawan Gaza terbunuh dalam serangan Israel setahun lalu

Sumber: Activists Without Borders
Serangan pada 25 Ogos 2025 itu mengorbankan 21 individu, termasuk lima wartawan.
Advertisement

GAZA: Agensi berita Associated Press (AP) dan Reuters sekali lagi menuntut penjelasan serta pertanggungjawaban daripada Israel berhubung kematian lima wartawan dalam serangan ke atas Hospital Nasser di Gaza setahun lalu.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena ulang tahun pertama tragedi itu, kedua-dua organisasi media berkenaan menggesa keadilan diberikan kepada mangsa yang terkorban ketika menjalankan tugas kewartawanan mereka.

Serangan pada 25 Ogos 2025 itu mengorbankan 21 individu, termasuk lima wartawan.

Jurugambar Al Jazeera, Mohammad Salama, turut terbunuh dalam kejadian tersebut.

"Kami mengenang jasa dan kehidupan mereka serta sekali lagi menggesa kerajaan Israel memberikan penjelasan penuh mengenai apa yang sebenarnya berlaku," menurut kenyataan itu.

Menurut Ketua Pengarang Eksekutif AP, Julie Pace, dan Ketua Pengarang Reuters, Alessandra Galloni, wartawan yang terkorban termasuk jurukamera Reuters, Hussam al-Masri; wartawan visual, Mariam Dagga, yang bertugas untuk AP serta beberapa organisasi media lain; dan wartawan bebas, Moaz Abu Taha, yang hasil laporannya pernah diterbitkan oleh Reuters.

Mereka berkata kesemua wartawan berkenaan berada di hospital itu atas kapasiti profesional untuk melaporkan perkembangan konflik dan menyampaikan maklumat kepada masyarakat antarabangsa.

"Setahun kemudian, kami masih berduka atas kehilangan mereka dan masih menunggu jawapan daripada pihak berkuasa Israel mengenai apa yang berlaku pada hari tersebut," kata mereka.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebelum ini memohon maaf dan menyifatkan serangan itu sebagai satu "kesilapan tragis".

Bagaimanapun, AP dan Reuters menyatakan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Israel sehingga kini masih tidak memberikan penjelasan yang memadai berhubung insiden berkenaan.

Menurut Pace dan Galloni, maklumat yang diperoleh setakat ini masih belum memenuhi keperluan bagi menjelaskan secara telus dan menyeluruh kejadian yang disifatkan mereka sebagai sangat serius.

Kedua-dua organisasi media itu menegaskan mereka akan terus menuntut jawapan dan pertanggungjawaban selain mendesak akses yang lebih luas ke Gaza bagi membolehkan sokongan diberikan kepada wartawan yang telah membuat liputan konflik itu selama hampir tiga tahun.

Insiden berkenaan terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan organisasi media antarabangsa mengenai keselamatan wartawan yang membuat liputan di kawasan konflik, khususnya di Gaza yang menyaksikan pertempuran berpanjangan sejak 2023.

 

Must Watch Video

Advertisement