Skip to main content

Malaysia

Pulau Pinang perkukuh sokongan keluarga, akses rawatan tangani penurunan kelahiran

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempergiat usaha menangani penurunan kadar kelahiran menerusi pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja memperluas akses kepada rawatan kesuburan, malah memperkukuh ekosistem sokongan untuk pasangan dan keluarga muda, kata  Lim Siew Khim. - Gambar Bernama
Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempergiat usaha menangani penurunan kadar kelahiran menerusi pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja memperluas akses kepada rawatan kesuburan, malah memperkukuh ekosistem sokongan untuk pasangan dan keluarga muda, kata Lim Siew Khim. - Gambar Bernama

Advertisement

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempergiat usaha menangani penurunan kadar kelahiran menerusi pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja memperluas akses kepada rawatan kesuburan, malah memperkukuh ekosistem sokongan untuk pasangan dan keluarga muda.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, usaha berkenaan merangkumi pelbagai aspek termasuk akses kepada rawatan kesuburan, kemudahan penjagaan anak mampu milik, persekitaran kerja mesra keluarga, fleksibiliti kerjaya serta sokongan kepada ibu bapa.

“Buat masa ini, usaha berkaitan rawatan kesuburan dilaksanakan menerusi kerjasama kerajaan negeri dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menerusi Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI),” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Menerusi program itu, beliau berkata, pasangan di Pulau Pinang boleh mendapatkan khidmat konsultasi, kaunseling, saringan dan rawatan di Pusat Keluarga LPPKN Pulau Pinang di Bertam, Kepala Batas yang turut menempatkan Pusat Subfertiliti Zon Utara.

Lim berkata, Program BuAI turut menyediakan pembiayaan rawatan permanian beradas (IUI) kepada pasangan yang layak dengan pendapatan isi rumah kurang RM10,000 sebulan, meliputi maksimum satu kitaran setahun dan dua kitaran sepanjang hayat.

Beliau berkata, usaha membina ekosistem sokongan keluarga turut dilaksanakan menerusi inisiatif pemutihan taska, tadika dan pusat jagaan bagi memastikan kanak-kanak ditempatkan di premis berdaftar, selamat dan berkualiti.

Mengulas faktor yang menyumbang kepada penurunan kadar kelahiran, Lim berkata, kajian yang dijalankan bersama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) mengenal pasti tekanan kewangan dan keadaan ekonomi sebagai antara faktor utama yang mempengaruhi keputusan pasangan untuk mempunyai anak.

“Kos sara hidup, penjagaan anak dan komitmen keluarga menyebabkan ramai pasangan memilih untuk merancang keluarga, mengehadkan bilangan anak atau menangguhkan keputusan untuk mempunyai anak kerana bimbang tidak mampu memberikan kehidupan yang terbaik kepada mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Lim berkata, kerajaan negeri belum menetapkan sasaran khusus bagi kadar kesuburan keseluruhan (TFR) kerana keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan perlu dinilai dalam jangka sederhana dan panjang.

Beliau berkata, sebaliknya, fokus awal ketika ini adalah untuk meningkatkan kesedaran, memperluas akses kepada saringan dan rawatan kesuburan, selain mengumpul data bagi menilai keberhasilan program yang dilaksanakan.

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Pulau Pinang merekodkan 16,706 kelahiran hidup sepanjang 2025 berbanding 18,164 pada 2024, iaitu penurunan sebanyak 1,458 kelahiran atau kira-kira lapan peratus.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement