APEC semak semula prospek pertumbuhan 2025 kepada 3.1 peratus di sebalik cabaran global

Unit Sokongan Dasar APEC berkata momentum itu, bagaimanapun, dijangka perlahan tahun depan, dengan pertumbuhan menjadi lebih sederhana kepada 2.9 peratus. - Gambar/ Bernama
GYEONGJU (Korea Selatan): Pertumbuhan rantau Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) telah disemak semula kepada 3.1 peratus tahun ini, tinggi sedikit daripada unjuran awal pada tiga peratus, disokong aktiviti rancak perdagangan dan permintaan kukuh barangan berteknologi tinggi.
Ringkasan AI
- Pertumbuhan ekonomi rantau APEC disemak semula kepada 3.1 peratus bagi 2025, sedikit lebih tinggi daripada unjuran awal, disokong oleh perdagangan aktif dan permintaan tinggi terhadap barangan teknologi, namun dijangka perlahan kepada 2.9 peratus pada 2026 akibat faktor sementara yang semakin berkurangan dan tekanan struktur seperti peningkatan hutang.
- Perdagangan barangan APEC meningkat pada separuh pertama 2025, dengan eksport dan import masing-masing naik lebih enam peratus, tetapi dijangka perlahan tahun depan kepada sekitar 1.1 peratus disebabkan ketegangan perdagangan dan pengurangan penghantaran awal.
- Inflasi menyederhana kepada purata 2.2 peratus, memberi ruang kepada bank pusat melonggarkan dasar monetari. Namun, hutang kerajaan dijangka melebihi 110 peratus KDNK menjelang 2026, menuntut pembaharuan fiskal dan kecekapan perbelanjaan awam untuk menghadapi kejutan ekonomi masa depan.
"Ekonomi APEC, terutamanya perniagaan, telah menunjukkan ketangkasan yang luar biasa dalam bertindak balas terhadap perubahan keadaan perdagangan dan dasar.
"Tetapi daya tahan ini sedang diuji apabila rangsangan daripada faktor sementara semakin pudar dan tekanan struktur seperti peningkatan hutang dan perdagangan yang perlahan, mula memberi impak," kata pengarah Unit Sokongan Dasar APEC, Carlos Kuriyama dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut laporan itu, perdagangan barangan di rantau APEC berkembang kukuh pada separuh pertama 2025, dengan nilai eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 6.5 peratus dan 6.1 peratus.
Jumlah perdagangan eksport dan import juga meningkat masing-masing sebanyak 8.8 peratus dan 8.5 peratus.
"Momentum perdagangan tahun ini menggalakkan, tetapi sebahagiannya didorong oleh langkah perniagaan mengeksport lebih awal sebelum sekatan baharu dimulakan.
"Pertumbuhan eksport barangan dijangka perlahan kepada sekitar 1.1 peratus tahun depan, berikutan penurunan faktor-faktor sementara ini dan ketegangan perdagangan yang berterusan," kata Glacier Nino A. Vasquez, penyelidik di Unit Sokongan Dasar yang juga merupakan penulis bersama laporan itu.
Sementara itu, inflasi di rantau APEC terus menyederhana dengan purata 2.2 peratus pada suku ketiga tahun ini, dibantu oleh keadaan bekalan yang lebih baik dan harga komoditi yang agak stabil.
Ini memberi ruang kepada bank pusat untuk melonggarkan kadar dasar dan merangsang aktiviti ekonomi, walaupun mengekalkan keseimbangan untuk mengawal tekanan harga, kata laporan itu.
Kuriyama berkata APEC perlu memelihara kestabilan ekonomi sambil memajukan pembaharuan berani untuk mengukuhkan daya tahan.
"Kerjasama serantau yang fleksibel adalah penting, dan di sinilah APEC memainkan peranan penting dengan menyediakan platform untuk dialog terbuka dan penyelesaian bersama yang menggalakkan rangka kerja yang boleh diramal dan telus untuk memupuk perdagangan dan pelaburan," katanya.
Selain itu, laporan tersebut juga memberi amaran tentang kekangan fiskal yang semakin meningkat di seluruh rantau ini.
"Hutang kasar kerajaan dalam APEC diunjurkan melebihi 110 peratus daripada keluaran dalam negara kasar menjelang 2026, peningkatan yang ketara daripada unjuran terdahulu.
"Ini mencerminkan perbelanjaan berkaitan pandemik yang berlarutan, pemulihan pendapatan yang lebih perlahan dan peningkatan perbelanjaan untuk menyokong pertumbuhan dan perkhidmatan sosial apabila populasi semakin menua," kata laporan itu.
Seorang lagi penulis bersama laporan itu, Rhea C. Hernando, yang juga penganalisis di Unit Sokongan Dasar APEC, berkata peningkatan hutang menghakis ruang fiskal ketika ekonomi perlu melabur dalam inovasi, infrastruktur dan modal insan.
Ini perlu terutamanya memandangkan populasi semakin menua yang memerlukan perbelanjaan lebih tinggi untuk kesihatan, pencen dan perkhidmatan sosial.
"Pembaharuan yang memperkukuh rangka kerja fiskal dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan awam semakin diperlukan untuk dapat bertindak balas secukupnya terhadap kejutan pada masa depan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


