SAN FRANCISCO: Syarikat teknologi komputer terkemuka Apple Inc memberi amaran tentang wujudnya kelemahan pada sistem yang membolehkan penggodam mengawal peranti keluarannya.

Apple dalam kenyataan hari ini menggesa pengguna mengemas kini perisian pada peranti iPhone, iPad, dan komputer Mac.

Syarikat gergasi teknologi itu mengumumkan telah mengeluarkan 'patch' pada Rabu dan Khamis untuk membetulkan apa yang disifatkannya sebagai 'kelemahan pada sistem' yang mungkin diambil kesempatan oleh penggodam.

"Apple menyedari laporan bahawa isu ini mungkin telah dieksploitasi secara aktif," kata syarikat yang berpangkalan di Silicon Valley itu.

Syarikat itu bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada ia mempunyai maklumat mengenai perkara ini.

Penerangan teknikal menunjukkan bahawa penggodam boleh menggunakan kelemahan ini untuk mengawal peranti, mengakses mana-mana data atau keupayaannya.