DUNIA
Arab Saudi kecam serangan maut oleh peneroka Israel di Tebing Barat

Arab Saudi menyifatkan serangan tersebut sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa. - Foto AP
RIYADH: Kerajaan Arab Saudi mengecam sekeras-kerasnya tindakan serangan maut yang dilakukan oleh peneroka Israel terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat yang diduduki, menurut kenyataan rasmi Kementerian Luar negara itu pada Jumaat.
Kecaman itu merujuk kepada serangan terbaru di kampung Kafr Malik, timur Ramallah, yang menyaksikan peneroka bersenjata menyerang penduduk Palestin dengan perlindungan daripada pasukan keselamatan Israel.
Arab Saudi menyifatkan serangan tersebut sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan menyeru masyarakat antarabangsa agar segera bertindak menghentikan pencabulan hak asasi manusia yang berterusan.
Kementerian Luar Arab Saudi turut mengulangi kecaman terhadap serangan Israel ke atas orang awam tidak bersenjata di Gaza, termasuk serangan ke atas lokasi perlindungan yang menempatkan penduduk yang dipindahkan.
“Kerajaan menegaskan keperluan mendesak untuk melindungi orang awam Palestin dan memastikan rakyat Palestin dapat menikmati semua hak sah mereka,” menurut kenyataan itu.
Keganasan oleh peneroka Israel di Tebing Barat telah meningkat sejak beberapa bulan lalu, mencetuskan kebimbangan global terhadap keselamatan penduduk Palestin dan kestabilan rantau tersebut.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami