Skip to main content

Malaysia

LRT3 mampu tampung permintaan hingga 2040 - Hasbi Habibollah

KUALA LUMPUR, 29 Jun -- Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, jumlah penumpang pada tahun pertama operasi pada 2026 dijangka mencecah 67,000 orang sehari. - Foto fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kapasiti penumpang bagi projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) diunjurkan mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna sehingga tahun 2040, meskipun terdapat langkah penjadualan semula dan penjimatan kos sebelum ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, jumlah penumpang pada tahun pertama operasi pada 2026 dijangka mencecah 67,000 orang sehari.

Beliau menjelaskan bahawa kapasiti sedia ada bagi projek tersebut adalah sebanyak 223,560 penumpang sehari, yang dilihat selari dengan jangkaan pertumbuhan penumpang bagi tempoh 16 tahun akan datang.

"Unjuran penumpang pada tahun 2030 adalah sekitar 126,000 orang, manakala bagi tahun 2040 pula dijangka seramai 219,000 orang. Ini bermakna kapasiti yang ada sekarang (223,560) adalah bersamaan dengan apa yang diunjurkan untuk tahun 2040.

"Jadi, insya-Allah, harapan kita ia akan memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan," katanya bagi menjawab soalan tambahan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (Permatang Pauh-PN) di Dewan Rakyat hari ini mengenai kebimbangan berlakunya kesesakan melampau seperti yang dialami di LRT Laluan Kelana Jaya.

Mengulas lanjut mengenai persediaan jangka panjang, beliau berkata kerajaan mempunyai perancangan untuk melaksanakan Fasa Kedua bagi projek berkenaan sekiranya permintaan terus meningkat.

Menurut beliau, fasa kedua tersebut akan melibatkan penambahan lima lagi stesen dan tujuh set tren baharu bagi meningkatkan kekerapan serta kapasiti perkhidmatan.

"Mengenai platform, meskipun reka bentuk asal untuk enam gerabak telah dikurangkan kepada empat selepas kajian dibuat, tren yang akan beroperasi sekarang adalah menggunakan tiga gerabak.

"Ini bermakna masih terdapat ruang untuk penambahan (gerabak) pada masa hadapan sekiranya keadaan memerlukan. Ia hanyalah menunggu masa yang sesuai," tambah beliau.

Perkhidmatan percuma bagi LRT Laluan Shah Alam selama sebulan bermula hari ini, selepas laluan dari Bandar Utama ke Johan Setia sepanjang 37.8 kilometer (km) itu siap sepenuhnya dan sedia untuk beroperasi.

Prasarana memaklumkan Laluan Shah Alam turut disokong oleh 40 bas perantara yang beroperasi di 323 hentian membabitkan 13 laluan khusus, dengan tambang hanya RM1 bermula 6 pagi hingga 11.30 malam.

Must Watch Video

Advertisement