MANILA: Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Arab Saudi sebagai sekutu strategik penting susulan pemeteraian rasmi perjanjian nuklear awam baharu antara kedua-dua negara.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, perjanjian berkenaan bagaimanapun perlu melalui proses pemberitahuan dan semakan Kongres terlebih dahulu sebelum pelaksanaan penuh dapat dijalankan, lapor Al Jazeera.
Beliau berkata demikian ketika mengulas Perjanjian Seksyen 123 yang ditandatangani secara rasmi oleh wakil kedua-dua negara di Washington pada Rabu.
Menurut Rubio, AS sentiasa proaktif mencari peluang untuk memeterai kerjasama teknologi yang kukuh dengan negara-negara sekutunya.
Beliau berkata, Washington turut menggalakkan negara yang berhasrat membangunkan program nuklear awam secara aman supaya bekerjasama dengan AS berbanding kuasa besar lain.
Pemeteraian itu menyusul selepas kedua-dua pihak menandatangani perjanjian rangka kerja awal di Riyadh tahun lalu bagi menetapkan parameter asas rundingan.
Langkah pentadbiran Presiden Donald Trump mengemukakan perjanjian bersejarah itu kepada Kongres AS dilihat membuka lembaran baharu dalam hubungan diplomatik, ekonomi dan geopolitik antara Washington dengan Riyadh.