NEW YORK: Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan Al Saud pada Sabtu menekankan kepentingan memulihkan keadaan di Selat Hormuz kepada status sebelum 28 Feb tanpa mengenakan sebarang bayaran atau sekatan, lapor Xinhua.
Bercakap semasa perbahasan umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-81, Faisal menggesa kebebasan pelayaran di laluan air antarabangsa, mengetengahkan Selat Hormuz, Selat Bab el-Mandeb, Laut Merah dan Teluk Aden, dan menolak penggunaannya oleh mana-mana pihak sebagai alat tekanan atau ancaman.
Beliau berkata keselamatan kawasan Teluk adalah sebahagian daripada keselamatan rantau ini dan dunia amnya, sambil menambah bahawa kestabilan di Teluk berkait secara langsung dengan keselamatan tenaga global, perdagangan antarabangsa dan rantaian bekalan.
Beliau menyatakan Arab Saudi menyokong usaha yang bertujuan meredakan ketegangan di rantau itu dan menekankan kepentingan memastikan seluruh wilayah kekal bebas daripada senjata pemusnah.
Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ketenteraan besar-besaran terhadap Iran pada 28 Feb. Iran bertindak balas dengan menyasarkan Israel dan beberapa pangkalan (tentera AS) di seluruh Timur Tengah.
Konflik itu telah mengganggu penghantaran melalui Selat Hormuz yang dengan ketara menjejaskan eksport minyak Arab Saudi ke pasaran global.
-- BERNAMA-XINHUA