Skip to main content

Dunia

Araghchi beri taklimat pada menteri Jepun, Itali usaha diplomatik Iran tamatkan perang

In this photo released by the Pakistan Foreign Ministry, Iran's Foreign Minister Abbas Araghchi, right, meets with Pakistani Army Chief Field Marshal Asim Munir, left, upon his arrival at Nur Khan airbase in Rawalpindi, Pakistan, Friday, April 24, 2026. (Pakistan Ministry of Foreign Affairs via AP)
Araghchi membincangkan hubungan dua hala, perkembangan serantau dan inisiatif diplomatik Iran yang berterusan bertujuan menamatkan perang dan meredakan ketegangan. - Foto AP

TEHRAN: Menteri Luar Iran Abbas Araghchi mengadakan perbincangan menerusi telefon secara berasingan pada Sabtu dengan rakan sejawatannya dari Jepun dan Itali, menggariskan usaha diplomatik Tehran untuk menamatkan perang Amerika Syarikat (AS)-Israel dan menekankan keperluan pada tindakan antarabangsa yang bertanggungjawab, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Dalam panggilan dengan Menteri Luar Jepun Toshimitsu Motegi pada Sabtu, Araghchi membincangkan hubungan dua hala, perkembangan serantau dan inisiatif diplomatik Iran yang berterusan bertujuan menamatkan perang dan meredakan ketegangan.

Advertisement

Beliau memberi taklimat kepada Motegi mengenai perkembangan terkini berkaitan proses diplomatik dan usaha berterusan untuk menamatkan perang yang dilancarkan terhadap Republik Islam itu.

Menteri luar Iran juga bercakap dengan Menteri Luar Itali Antonio Tajani, dengan perbincangan memfokuskan pada perkembangan terkini serantau, usaha gencatan senjata dan diplomasi.

Kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan mengenai kesan keselamatan, undang-undang dan ekonomi akibat pencerobohan tentera AS-Israel.

Araghchi turut memberikan perkembangan terkini kepada rakan sejawatannya dari Itali itu mengenai gencatan senjata dan usaha diplomatik untuk menamatkan perang, menekankan kepentingan peranan yang bertanggungjawab oleh negara-negara Eropah dalam proses tersebut.

Menyatakan kekesalan terhadap pendekatan yang tidak membina dan tidak bertanggungjawab sesetengah negara Eropah dalam mengulangi klise yang tidak betul mengenai isu nuklear Iran, Araghchi menegaskan bahawa program nuklear Iran benar-benar aman.

Beliau menggesa negara-negara tersebut untuk mengutuk pencerobohan AS-Israel dan meminta mereka bertanggungjawab atas pelanggaran berat undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

AS dan Israel melancarkan pencerobohan tanpa provokasi terhadap Iran, membunuh Pemimpin Revolusi Islam, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei, dan beberapa komander kanan semasa rundingan tidak langsung sedang dijalankan antara Tehran dan Washington berhubung program nuklear Iran yang aman.

Mereka juga mengebom sebuah sekolah di Minab, selatan Iran, membunuh 168 orang termasuk pelajar sekolah.

-- BERNAMA-IRNA

Must Watch Video