JAKARTA: Polis Metropolitan Jakarta telah mengambil keterangan daripada 31 saksi bagi membantu siasatan nahas ngeri kereta api di Stesen Bekasi Timur yang mengorbankan 16 nyawa pada 27 April lalu.
Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Jaya, Pesuruhjaya Kanan Budi Hermanto, berkata senarai saksi tersebut merangkumi pemandu teksi, penjaga lintasan, mangsa yang terselamat, pegawai operasi PT Kereta Api Indonesia (PT KAI), serta saksi awam yang berada di lokasi kejadian.
Advertisement
Menurut beliau, kes berkenaan kini dikendalikan oleh Sub‑Direktorat Keselamatan Negara di bawah Direktorat Siasatan Jenayah Polis Metro Jaya.
Siasatan awal mendapati tragedi itu berpunca apabila sebuah teksi elektrik mengalami gangguan sistem, menyebabkan kenderaan berkenaan terkandas di lintasan sebelum dilanggar sebuah tren komuter.
Susulan perlanggaran awal itu, sebuah lagi tren komuter terpaksa melakukan pemberhentian kecemasan di stesen berkenaan.
Kira‑kira sejam kemudian, tren tersebut dirempuh dari belakang oleh tren ekspres Argo Bromo Anggrek, sekali gus mencetuskan nahas besar.
Pihak polis turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, mengumpul bahan bukti serta meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti sebarang unsur kecuaian manusia atau kegagalan sistem.
Selain keterangan saksi, pihak berkuasa juga akan memanggil operator teksi elektrik serta menjalinkan kerjasama dengan Direktorat Jeneral Perkeretaapian bagi melengkapkan siasatan.
Kesemua 16 mangsa yang terkorban merupakan wanita yang berada di dalam gerabak khas wanita di bahagian belakang tren komuter berkenaan.
Selain korban, seramai 91 individu lagi dilaporkan cedera dalam nahas yang disifatkan antara yang terburuk di Indonesia dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.