TEHRAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menuduh Israel menjalankan kempen pengaruh secara meluas bagi memperdaya pentadbiran Amerika Syarikat (AS) untuk terlibat dalam peperangan yang menurut beliau tidak boleh dimenangi.
Menerusi hantaran di platform X pada Jumaat, Araghchi berkata rakyat Amerika sering diberi amaran mengenai campur tangan dan pengaruh asing, namun mendakwa wujud kempen yang diterajui Israel bagi mempengaruhi dasar Washington.
Americans are being warned of Foreign Influence.
How about the extensive Israeli Campaign to bamboozle the U.S. Administration into an unwinnable war of choice?
Even worse: Israel is using U.S. taxpayer dollars to silence any U.S. critics.
It will all soon unravel. pic.twitter.com/sXYc3iuV7C— Seyed Abbas Araghchi (@araghchi) July 17, 2026
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan majalah Time bertajuk "Trump's Ex-campaign Manager Is Running an Israeli Influence Operation Targeting the MAGA Base".
Menurut laporan tersebut, bekas pengurus kempen pilihan raya Donald Trump, Brad Parscale, didakwa mengendalikan operasi pengaruh yang menyasarkan penyokong gerakan Make America Great Again (MAGA).
Araghchi turut mendakwa keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila Israel menggunakan dana yang berpunca daripada pembayar cukai AS untuk mengekang suara pengkritiknya di Washington.
Sehubungan itu, beliau berkata operasi pengaruh yang didakwa dijalankan Israel akhirnya akan terbongkar.
Sebelum ini, dakwaan mengenai usaha Israel menjejaskan rundingan damai antara AS dan Iran turut mencetuskan perdebatan politik di Washington.
Bagaimanapun, Parscale menolak dakwaan bahawa operasi berkenaan bertujuan mempengaruhi atau menentang dasar pentadbiran AS.