Skip to main content

Malaysia

Anggota PGA patah tangan, suspek pengedar dadah ditahan

Ahmad Radzi berkata sebelum kejadian, pasukan operasi menerima maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier untuk penghantaran ke beberapa negeri di Semenanjung serta Sarawak. - Gambar fail/BERNAMA
Ahmad Radzi berkata sebelum kejadian, pasukan operasi menerima maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier untuk penghantaran ke beberapa negeri di Semenanjung serta Sarawak. - Gambar fail/BERNAMA

Advertisement

KOTA BHARU: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) patah tangan kanan selepas kenderaan pacuan empat roda dinaikinya bertembung dengan kereta dipandu seorang lelaki disyaki pengedar dadah di Jalan Pekan Lama Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata suspek berusia 35 tahun dipercayai cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan pasukan Strike Force Batalion 9 PGA.

Beliau berkata pertembungan itu menyebabkan anggota berpangkat Koperal berusia 41 tahun yang memandu kenderaan pasukan mengalami patah tangan, manakala tiga lagi anggota tidak cedera.

“Suspek berjaya ditahan selepas kereta jenis Toyota Camry dipandunya tersekat. Pemeriksaan menemukan enam botol berisi cecair kehitaman yang disyaki kodein,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ahmad Radzi berkata sebelum kejadian, pasukan operasi menerima maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier untuk penghantaran ke beberapa negeri di Semenanjung serta Sarawak.

Beliau berkata pada 1.30 tengah hari, pasukan berkenaan memeriksa sebuah premis kurier di Rantau Panjang dan menemukan enam bungkusan plastik dipercayai mengandungi dadah, iaitu kira-kira 70 gram bunga ganja, 10 unit minyak ganja serta tiga kilogram ganja mampat.

Susulan penemuan itu, pasukan operasi menjalankan rondaan sebelum terserempak dengan Toyota Camry dinaiki lelaki tersebut yang disyaki mempunyai kaitan dengan bungkusan berkenaan.

Beliau berkata lelaki itu kemudian memecut sejauh kira-kira dua kilometer bagi mengelak ditahan sebelum keretanya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda PGA ketika anggota cuba menghalangnya.

Ahmad Radzi berkata suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah di sekitar Rantau Panjang dan Pasir Mas. 

Kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan lanjut, manakala keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM10,000.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement