Skip to main content

Dunia

Araghchi sifatkan rundingan dengan China berjaya, sokong pelan damai Xi

Successful consultations in China with our partners. Iran values strategic partnership we have built over time.   Today's decisions will decide future strategic balance in the region, with immeasurable knock-on effects.   4 principles for peace outlined by President Xi are key.
Araghchi ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar China, Wang Yi, di Beijing. - Foto X/Seyed Abbas Araghchi
Advertisement

BEIJING: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menyifatkan rundingannya dengan pegawai China sebagai berjaya, sambil menegaskan Tehran menghargai perkongsian strategik yang terjalin antara kedua-dua negara.

Araghchi berkata keputusan yang dibuat ketika ini akan menentukan keseimbangan strategik di rantau berkenaan pada masa depan, dengan kesan yang luas terhadap perkembangan geopolitik serantau.

Menerusi kenyataan di platform X, beliau turut menyatakan sokongan terhadap empat prinsip keamanan yang dikemukakan Presiden China, Xi Jinping, dan menyifatkannya sebagai elemen penting dalam usaha meredakan konflik.

Cadangan Xi menekankan kepentingan hidup berjiran secara aman, menghormati kedaulatan dan integriti wilayah sesebuah negara, mematuhi undang-undang antarabangsa serta memastikan keseimbangan antara keselamatan dan pembangunan ekonomi.

Kenyataan itu dibuat selepas Araghchi mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar China, Wang Yi, di Beijing ketika China meningkatkan usaha diplomatik untuk membantu meredakan konflik yang berlarutan melibatkan Iran.

China, yang merupakan rakan dagang dan sekutu diplomatik penting Iran, berulang kali menggesa gencatan senjata serta penyelesaian melalui rundingan bagi menamatkan konflik dan memulihkan kestabilan di Asia Barat.

Pemerhati melihat lawatan Araghchi ke Beijing sebagai usaha mengukuhkan koordinasi antara kedua-dua negara ketika ketegangan serantau terus memberi kesan kepada pasaran tenaga dan keselamatan antarabangsa.

 

 

Must Watch Video

Advertisement