Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: DAP cabar empat calon MCA debat dalam bahasa kebangsaan

Khoo Poay Tiong (kiri) berkata penggunaan bahasa Melayu lebih sesuai supaya perbincangan mengenai dasar, pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dapat difahami secara meluas. - Gambar Astro AWANI
Khoo Poay Tiong (kiri) berkata penggunaan bahasa Melayu lebih sesuai supaya perbincangan mengenai dasar, pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dapat difahami secara meluas. - Gambar Astro AWANI

Advertisement

Advertisement

AYER KEROH: Kalau mahu berdebat, biarlah seluruh rakyat Melaka dapat memahami hujah yang dibawa, bukan sekadar penyokong parti masing-masing, ujar Khoo Poay Tiong.

Pengerusi DAP Melaka itu turut mencadangkan, debat antara empat calon Pakatan Harapan (PH) dan MCA diadakan dalam bahasa kebangsaan bagi membolehkan masyarakat pelbagai kaum mengikuti perbahasan itu.

Menurutnya, penggunaan bahasa Melayu lebih sesuai supaya perbincangan mengenai dasar, pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dapat difahami secara meluas.

Advertisement

"Kita boleh apa-apa bahasa, dalam bahasa Malaysia, dalam bahasa Tionghoa, boleh saja. Tak ada isu.

"Saya lebih cadang kita dalam bahasa Malaysia supaya semua rakyat Melaka boleh faham apa yang kita debat," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH), di sini, hari ini.

Advertisement

Cadangan itu menyusuli cabaran debat yang dibangkitkan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong melibatkan calon MCA, Jasmine Lok dan calon PH, Leng Chau Yen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir.

Cabaran berkenaan pada asalnya berkisar isu pelaksanaan zon bebas kenderaan di Bandar Hilir yang turut menjadi perhatian sepanjang kempen pilihan raya.

Bagaimanapun, Poay Tiong mahu perbahasan itu diperluaskan kepada semua empat kerusi ditandingi MCA, iaitu Klebang, Machap Jaya, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

"Kita memang mengalu-alukan kalau mereka begitu serius tentang nak debat, kita memang bersedia untuk berdepan dengan mereka.

"Tetapi jangan hanya sekadar nak cabar seorang saja. Kalau berani kita empat lawan empat. Empat calon MCA lawan dengan empat calon PH," katanya lagi.

Poay Tiong berkata, keempat-empat calon PH iaitu Low Chee Leong (Kota Laksamana), Leng Chau Yen (Bandar Hilir), Farzana Hayani Mohd Nasir (Klebang) dan Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya) sudah bersetuju menyertai debat berkenaan.

Malah, beliau mahu perbahasan diadakan secepat mungkin sebelum hari pengundian pada 14 November, dengan lokasi serta pengendali ditentukan melalui persetujuan kedua-dua pihak.

Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkecuali juga boleh dipertimbangkan bagi mengendalikan debat supaya berlangsung secara terbuka dan teratur.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Howard Lee Chuan How berpandangan, debat antara parti politik sepatutnya menjadi ruang membandingkan dasar, bukannya sekadar pertikaian politik.

Beliau turut menyokong cadangan memperluaskan perbahasan kepada semua calon yang bertanding di empat kawasan berkenaan.


 

Must Watch Video

Advertisement