Ringkasan AI
- Kajian kebolehlaksanaan membawa semula perlumbaan Formula Satu (F1) ke Malaysia dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada minggu ketiga atau penghujung bulan ini.
- Kajian meliputi kos penganjuran, kesiapsiagaan litar, infrastruktur, serta potensi pulangan ekonomi sebelum keputusan kerajaan dibuat.
- Slot penganjuran F1 untuk Malaysia hanya berpotensi dibuka bermula 2029, dengan perbincangan lanjut bersama pihak F1 akan diteruskan.
SEPANG: Kajian kebolehlaksanaan untuk membawa kembali perlumbaan Formula Satu (F1) ke Malaysia dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada minggu ketiga atau penghujung bulan ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Azhan Shafriman Hanif.
Beliau berkata kajian itu akan meneliti beberapa aspek utama termasuk kos penganjuran, kesiapsiagaan litar, kemudahan infrastruktur serta potensi pulangan ekonomi sebelum sebarang keputusan dibuat oleh kerajaan.
Katanya, SIC akan bekerjasama dengan kementerian berkaitan khususnya Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), selain mendapatkan maklum balas sektor swasta termasuk industri perhotelan serta makanan dan minuman (F&B).
“Insya-Allah kita jangkakan kajian ini dapat dibentangkan pada penghujung atau minggu ketiga November, bergantung kepada slot yang kita peroleh di peringkat Kabinet.
“Kita perlu melihat keseluruhan aspek termasuk kos, kesiapsiagaan litar dan infrastruktur kerana F1 bukan sesuatu yang kecil untuk dianjurkan. Ia merupakan projek nasional,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan Grand Prix (GP) MotoGP Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.
Azhan Shafriman berkata berdasarkan perbincangan awal dengan pihak pemegang hak komersial F1, slot penganjuran yang berpotensi untuk Malaysia hanya akan dibuka bermula 2029.
Bagaimanapun, beliau berkata SIC akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak F1 bagi meneliti peluang serta bentuk kerjasama lain yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.
Katanya, aspek kos menjadi antara pertimbangan utama memandangkan penganjuran F1 memerlukan pelaburan besar, selain persediaan infrastruktur yang sewajarnya.
Dalam pada itu, Azhan Shafriman berkata SIC turut akan meneliti mekanisme cukai F1 bagi memastikan pulangan daripada aktiviti ekonomi berkaitan dapat disalurkan semula kepada kerajaan untuk membantu mendapatkan semula sebahagian pelaburan yang dibuat.
-- BERNAMA