DUNIA
Ardell mangsa buli fizikal askar Israel, tudung direntap dan diugut bunuh anak

Ardell berkongsi detik cemas apabila tudungnya direntap sehingga rambut tercabut, disertai sorakan beramai-ramai askar Israel bertujuan memalukannya. - Gambar Astro AWANI/Rizal Rahim
ISTANBUL: Aktivis kemanusiaan Malaysia, Ardell Aryana mendedahkan, beliau menjadi mangsa buli fizikal oleh askar Israel ketika ditahan dalam misi Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Ardell juga mengesahkan mengalami kecederaan selepas diserang secara fizikal oleh tentera Israel.
“Dalam pertemuan dengan doktor tadi, doktor sahkan soft tissue bahu koyak, muka lebam dan rambut direntap,” katanya.
Tambah Ardell, laporan kesihatan itu akan dibawa pulang ke Malaysia untuk didokumentasikan dan diserahkan kepada pihak peguam dan Sumud Nusantara Operation Center bagi tindakan lanjut.Beliau turut berkongsi detik cemas apabila tudungnya direntap sehingga rambut tercabut, disertai sorakan beramai-ramai askar Israel bertujuan memalukannya.
“Saya pun tidak faham kenapa saya menjadi sasaran, tetapi mungkin sebab saya paling rajin buat live, dan live SOS saya diikuti ramai,” ujarnya.
Lebih mengejutkan, beliau berkata, rejim Zionis turut mengugut untuk membunuh anak-anaknya jika beliau enggan memberi kerjasama semasa proses penahanan.
Ardell bersama 22 aktivis lain selamat sampai di Istanbul pada Sabtu menerusi penerbangan khas yang diusahakan Kerajaan Turkiye dan Kerajaan Malaysia.
Setakat ini, tiada tarikh rasmi ditetapkan bagi kepulangan kesemua aktivis Global Sumud Flotilla ke Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami