BEIJING: Sebuah laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa menjelaskan, kemungkinan virus COVID-19 berasal dari makmal adalah tidak munasabah.

Justeru ia menafikan kenyataan Amerika Syarikat dan ahli politik barat yang mendakwa virus itu berasal daripada sebuah makmal di bandar Wuhan di wilayah Hubei, China.

Laporan itu dikeluarkan selepas 17 pakar China dan 17 pakar asing melakukan penyelidikan di Wuhan mengenai penularan asal usul COVID-19 bermula 14 Januari hingga 10 Februari lepas.

Sebelum ini beberapa ahli politik dan media anti-China terus memberi tekanan kepada WHO sebelum laporan rasmi berkenaan dikeluarkan.

BACA: Asal-usul COVID-19: Pakar AS kaji laporan WHO-China

BACA: Asal-usul COVID-19: AS, 13 negara lain bimbang penangguhan laporan WHO


Pihak berkenaan didakwa mengumpulkan beberapa negara untuk mengeluarkan kenyataan bersama bagi menimbulkan keraguan dan menolak laporan itu dengan tujuan memburukkan peranan yang dimainkan China dalam kajian itu.

Salah seorang pasukan pakar antarabangsa berkenaan mengeluarkan satu kenyataan balas berhubung isu itu.

“Saya rasa saiz laporan berkenaan serta jumlah bahan yang digunakan selain hasil kajian, analisis dan data yang diperolehi membuktikan kerjasama yang dijalin,” kata ketua pasukan pakar kajian WHO-China, Peter Ben Embarek.

China pada bulan lepas menjemput pakar WHO sebanyak dua kali bagi melakukan kajian mengenai asal usul virus COVID-19 yang didakwa berpunca dari Wuhan itu.