Ringkasan AI
- Prinsip sentralisasi ASEAN: Negara-negara ASEAN perlu membuat keputusan yang menjamin manfaat serantau, bukan hanya untuk kepentingan individu negara. Cabaran geopolitik dan perang dagang: ASEAN perlu menguji keteguhan prinsip sentraliti dalam menghadapi cabaran geopolitik baharu dan perang dagang yang kian memuncak. Sokongan China: China menyokong Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan bersedia menandatangani Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) untuk menolak penyahgandingan dan gangguan bekalan.
Profesor Madya Sekolah Politik dan Hubungan Antarabangsa Fakulti Sains Sosial University of Nottingham Malaysia, Dr. Tricia Yeoh berkata ini merupakan masanya untuk menguji keteguhan prinsip sentralisasi ASEAN yang dicanangkan oleh pertubuhan negara-negara Asia Tenggara itu.
"Kita sebagai rakyat boleh rayu kepada China dan negara-negara Asia Tenggara lain agar mereka tidak membuat keputusan semata-mata untuk manfaat setiap negara secara individu. Tekankan kepentingan keputusan yang boleh memberi manfaat secara serantau dan sebagai ASEAN.
“ASEAN selalu ketengahkan prinsip sentraliti ASEAN dan sebagainya, tetapi sebelum ini prinsip tersebut tidak teruji. Mungkin sekaranglah masanya untuk prinsip itu diuji. Adakah kita boleh buat keputusan kolektif yang terbaik untuk rantau Asia Tenggara dan bukan untuk kepentingan negara sendirian?” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Dalam pada itu, Penasihat Utama, Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia dan Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr. Oh Ei Sun menjelaskan, sentralisasi ASEAN itu sukar dipertahankan sekiranya ada negara anggota yang bertindak sendirian.
"Kita (Malaysia) sudah bertungkus-lumus sebagai Pengerusi ASEAN; Perdana Menteri dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri bekerja keras, tetapi sukar apabila Vietnam terlalu cepat berunding dengan Amerika Syarikat (AS) (mengenai isu Laut China Selatan).
“Ada pula negara seperti Indonesia yang mempunyai pendirian selari dengan Malaysia. Oleh itu, mungkin kita boleh mewujudkan pakatan yang berkongsi pendirian. Saya nampak Indonesia, Singapura, dan Filipina,” ujarnya.
Presiden China, Xi Jinping menamatkan lawatan rasmi ke Malaysia pada Khamis.
Dalam kenyataan pada Khamis, beliau menyatakan sokongan China kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dan bersedia menandatangani Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) dengan negara serantau secepat mungkin.
Beliau berkata, China dan ASEAN akan menolak penyahgandingan, gangguan bekalan, penyalahgunaan tarif serta menentang amalan undang-undang rimba dengan mengamalkan keterbukaan, keterangkuman, perpaduan dan kerjasama.
"China akan bekerjasama dengan ASEAN untuk menangani ketidaktentuan dan ketidakstabilan global dengan kestabilan dan kepastian di Asia," ujarnya.
