KUALA LUMPUR: Kerajaan negara-negara anggota ASEAN akan bertindak mengukuhkan usaha pemantauan rantaian bekalan dan keupayaan pembuatan domestik bagi meningkatkan daya tahan terhadap kekurangan ubat-ubatan serta kejutan bekalan luaran.
BMI yang juga unit di bawah Fitch Solutions memaklumkan, bagi meningkatkan ketelusan rantaian bekalan dan mengurangkan risiko kekurangan ubat-ubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mencadangkan penubuhan ASEAN Medicines Security Dashboard atau Papan Pemuka Keselamatan Ubat ASEAN yang menyediakan maklumat masa nyata mengenai harga ubat, ketersediaan stok, pengagihan rantaian bekalan dan kapasiti pembuatan serantau.
“Kerajaan turut bertindak menetapkan keperluan domestik bagi penyediaan stok penimbal ubat-ubatan selama tiga bulan di semua kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan sebagai potensi model bagi memperkukuh kesiapsiagaan farmaseutikal di serata ASEAN,” menurut BMI dalam kenyataan hari ini.
KKM juga, menurut BMI, bertindak menggalakkan kerjasama strategik dalam pembuatan serta inisiatif pelaburan bersama untuk memperkukuh keupayaan pembuatan farmaseutikal di peringkat domestik dan serantau, menangani jurang pengeluaran serta mengurangkan kebergantungan terhadap bahan farmaseutikal aktif (API) yang diimport..
“Ketika kerajaan-kerajaan ASEAN meningkatkan tahap sara diri atau kebergantungan sendiri dalam farmaseutikal dan mengukuhkan kapasiti pengeluaran domestik, kalangan pengeluar ubat-ubatan pelbagai negara akan berdepan tekanan untuk penyetempatan pembuatan, memindahkan teknologi serta menyertai kerjasama pengeluaran serantau bagi mengekalkan akses pasaran,” menurutnya.
Bagaimanapun, BMI berkata usaha mencapai tahap sara diri dalam sektor farmaseutikal masih menjadi matlamat jangka panjang ASEAN berikutan sebahagian besar negara anggota amat bergantung pada ubat-ubatan, API dan teknologi asing yang diimport, meskipun sokongan politik terhadap usaha memperkukuh pengeluaran tempatan kian meningkat.
BMI juga menyifatkan kebergantungan terhadap import sebagai amat ketara di Malaysia, Thailand dan Vietnam dengan ubat-ubatan import merangkumi kira-kira 42 peratus hingga 44 peratus daripada jualan farmaseutikal di negara-negara berkenaan.
Menurutnya, walaupun kerajaan meneruskan usaha mencapai matlamat penyetempatan pengeluaran yang disifatkannya sebagai impian besar, termasuk sasaran Vietnam untuk memenuhi 80 peratus permintaan farmaseutikal domestik menerusi pengeluaran tempatan manakala Indonesia ke arah mencapai sara diri farmaseutikal, kemajuan terbabit dijangka berlaku secara berperingkat.
Faktor seperti keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhad serta ekosistem inovasi yang masih kurang berkembang, akan mengekang peluasan aktiviti pembuatan bernilai tambah tinggi ketika kebanyakan pengeluaran tempatan terus tertumpu pada ubat generik dan formulasi ubat.
“Oleh itu, ASEAN akan terus bergantung kepada pengimportan terapi inovatif walaupun terdapat usaha berterusan bagi memperkukuh kapasiti pengeluaran serantau,” menurut BMI.
-- BERNAMA