Skip to main content

Dunia

ASEAN-Jepun perkukuh kerjasama kesihatan, utamakan penuaan sihat, UHC

Dzulkefly Ahmad -- FB Dr Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly berkata Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN-Jepun yang julung kali diadakan itu, membuka lembaran baharu dalam kerjasama antara kedua-dua pihak. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: ASEAN dan Jepun akan memperkukuh perkongsian kesihatan mereka melalui kerjasama yang lebih berstruktur dan jangka panjang, dengan penuaan sihat dan Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) yang mampan, dikenal pasti sebagai keutamaan utama dalam menangani cabaran kesihatan baharu yang muncul di rantau ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN-Jepun yang julung kali diadakan itu, membuka lembaran baharu dalam kerjasama antara kedua-dua pihak, yang dibina atas kepercayaan bersama, nilai guna sama dan komitmen bersama, untuk meningkatkan kesihatan serta kesejahteraan rakyat di seluruh rantau ini.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Jepun atas perkongsiannya yang teguh dan tidak berbelah bahagi, dalam memajukan keutamaan kesihatan ASEAN.

“Selama bertahun-tahun, kerjasama kita telah memberikan hasil yang bermakna merentas pelbagai bidang, termasuk pembangunan tenaga kerja kesihatan, pencegahan dan kawalan penyakit, pengurusan kesihatan bencana dan penuaan sihat melalui Pusat ASEAN bagi Pengusiaan Aktif dan Inovasi (ACAI)

“Selain itu, melalui Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan mengenai Masyarakat Penyayang, kita telah memperkukuh kesiapsiagaan kecemasan kesihatan awam melalui Pusat Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Baru Muncul ASEAN (ACPHEED), serta sistem kesihatan dan pemajuan Liputan Kesihatan Sejagat,” katanya.

Dzulkefly berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN-Jepun kali pertama, yang bersidang semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-17 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di sini semalam.

Mesyuarat itu dipengerusikan secara bersama dengan Menteri Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun, Ueno Kenichiro.

Mengetengahkan tema mesyuarat tersebut, “Jangka Hayat Panjang yang Bermaruah: Memajukan Penuaan Sihat dan Liputan Kesihatan Sejagat yang Mampan merentasi ASEAN dan Jepun,” Dzulkefly menekankan keperluan untuk memastikan usia yang lebih panjang dijalani dalam keadaan kesihatan yang baik dan disokong oleh sistem kesihatan yang berdaya tahan serta berpusatkan rakyat.

“Dengan menggabungkan kekuatan kolektif ASEAN berserta kepakaran dan inovasi Jepun yang telah lama wujud, kita mempunyai peluang berharga untuk membentuk penyelesaian praktikal yang menggalakkan penuaan sihat, sambil memajukan Liputan Kesihatan Sejagat yang mampan untuk semua,” katanya.

Dzulkefly juga melahirkan keyakinan bahawa perbincangan itu, akan membina asas yang kukuh untuk jangka hayat yang sihat di seluruh rantau ini, lantas membuka jalan kepada penerimaan Kenyataan Bersama dan pelan hala tuju yang jelas untuk kerjasama strategik.

Mesyuarat itu juga melabuhkan tirai bagi AHMM ke-17, yang diadakan di Kuala Lumpur dari 7 hingga 11 Sept, dengan Malaysia bertindak sebagai Pengerusi dan Myanmar sebagai Naib Pengerusi.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement