INTERNATIONAL
ASEAN lancar usaha bantuan antarabangsa di Myanmar susulan gempa bumi

Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter dengan kedalaman 10 kilometer melanda kira-kira 19 kilometer ke barat laut Mandalay, Myanmar, pada Jumaat. - Reuters
JAKARTA: Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana) (AHA Centre) melancarkan operasi bantuan antarabangsa yang diselaraskan di Myanmar selepas gempa bumi kuat dan gegaran susulan yang berlaku.
Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter dengan kedalaman 10 kilometer melanda kira-kira 19 kilometer ke barat laut Mandalay, Myanmar, pada Jumaat, diikuti oleh gegaran susulan berukuran 6.4 pada skala Richter pada kedalaman yang sama, memburukkan lagi kesan gempa pertama.
Delegasi dari AHA Centre yang diketuai oleh pengarah eksekutif Lee Yam Ming dan pengarah operasi Sithu Pe Thein tiba di Nay Pyi Taw pada malam Jumaat untuk bekerjasama dengan Jabatan Pengurusan Bencana Myanmar (DDM) dalam menyokong usaha tindak balas serantau.
AHA Centre turut menyelaraskan operasi bantuan dengan negara-negara ASEAN lain.Menurut laporan terkini dari AHA Centre, pasukan Operasi Lionheart dari Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), yang terdiri daripada 80 anggota pakar dalam logistik, perubatan, mencari dan menyelamat serta empat ekor anjing penyelamat telah tiba untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat bandar (USAR).
Sementara itu, Malaysia telah menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang terdiri daripada 50 anggota, manakala Indonesia pula menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Indonesia (INASAR) bagi memberikan sokongan tambahan dalam operasi USAR.
AHA Centre juga sedang menggerakkan anggota Pasukan Tindak Balas dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ASEAN-ERAT) dari Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura serta Vietnam untuk membantu operasi di lapangan.
Pasukan Singapura telah tiba, manakala pasukan dari Brunei dan Indonesia dijangka menyusul dalam beberapa hari akan datang.
Dalam masa yang sama, AHA Centre sedang memudahkan penghantaran bekalan bantuan penting dari gudang serantau Sistem Logistik Kecemasan Bencana ASEAN (DELSA) di Subang, Malaysia.
Dua penerbangan komersial yang membawa barangan DELSA, dengan sokongan Dana Integrasi Jepun-ASEAN, Perancis dan Agensi Pembangunan dan Kerjasama Swiss, dijadualkan mendarat di Myanmar pada Sabtu.
Pada Jumaat, AHA Centre menaikkan tahap amaran Pusat Operasi Kecemasannya kepada 'merah', menandakan situasi kritikal yang memerlukan tindakan segera.
Bantuan awal yang diminta oleh Myanmar termasuk pasukan mencari dan menyelamat bandar serta barangan bantuan bukan makanan seperti khemah, kanvas, dan kit kebersihan.
Selain itu, analisis imej satelit telah diaktifkan melalui Sentinel Asia and Space Charter UNOSAT, dengan sokongan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dari MapAction bagi meningkatkan kesedaran situasi, menurut kenyataan AHA Centre.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami