DUNIA
ASEAN perlu ambil iktibar rusuhan, perkukuh sistem semak dan imbang - PM Anwar

Anwar berkata, semua pihak harus mengambil iktibar tentang peristiwa demonstrasi dan rusuhan sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan di beberapa negara baru-baru ini. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sejarah telah mencatatkan bahawa banyak kejatuhan kerajaan disebabkan mereka yang berkuasa sering mengejar kemewahan, serta menerima korupsi yang sistemik sebagai cara hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, atas sebab itu, Speaker dan Parlimen perlu terus memainkan peranan utama mewujudkan sistem semak dan imbang dalam memastikan kerajaan terus telus berpegang kepada prinsip akauntabiliti.
Beliau berkata, semua pihak harus mengambil iktibar tentang peristiwa demonstrasi dan rusuhan sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan di beberapa negara baru-baru ini, dan memastikan sistem semak dan imbang memenuhi aspirasi rakyat.
“Seperti yang kita tahu, perkembangan di banyak negara di ASEAN dan luar ASEAN, bukan sahaja melibatkan kerajaan, tetapi ahli Parlimen kini turut dipersoalkan - sama ada mereka menggunakan pengaruh dan kuasa untuk mengukuhkan kedudukan mereka, atau untuk mendapat manfaat daripada keistimewaan mereka, ataupun benar-benar berkhidmat demi kepentingan rakyat.“Saya rasa perkembangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini agak mengejutkan, dan telah meletakkan kerajaan serta ahli Parlimen pembangkang, termasuk ahli Kongres dan Senator, dalam keadaan berjaga-jaga.
“Mereka mesti memastikan bahawa mereka menghormati semangat Perlembagaan, menunaikan sumpah jawatan, serta menjunjung semangat kebertanggungjawaban dan hak rakyat untuk mempersoalkan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 di ibu negara, pada Khamis.
Bertemakan ‘Parliament at the Forefront for Inclusive Growth and Sustainable ASEAN’, perhimpunan tujuh hari itu menghimpunkan Speaker Parlimen, ahli Parlimen, dan pemerhati dari negara-negara anggota serta rakan dialog.
AIPA turut menjadi medan penting untuk membincangkan isu-isu serantau seperti keselamatan, ekonomi, alam sekitar, dan hak asasi manusia, serta memberi peluang kepada wakil rakyat untuk menyelaraskan dasar dan memperkukuh peranan legislatif dalam menyokong agenda ASEAN.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, Malaysia, sebagai contoh telah mengambil langkah untuk mengembalikan semula kebebasan dan autonomi Badan Legislatif dengan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen bagi memastikan ia memenuhi fungsi semak dan imbang.
Dalam era kawalan dan pengaruh media sosial, beliau berkata wujud kemungkinan di mana rakyat boleh disalah maklum.
Namun begitu, Perdana Menteri menegaskan, adalah tanggungjawab legislatif dan eksekutif untuk melaksanakan tugas sebaik mungkin, menghormati komitmen dan sumpah jawatan yang telah dilafazkan.
“Saya mesti mengucapkan terima kasih kepada para Speaker kerana memastikan kita (kerajaan) sentiasa berwaspada. Maksud saya, walau apa pun kuasa yang dipinjamkan kepada saya sebagai Perdana Menteri, apabila saya berada di Dewan Rakyat, saya tertakluk sepenuhnya kepada keputusan Speaker.
“Dan saya mesti katakan, walaupun Speaker itu sahabat saya, terdapat banyak keputusannya yang secara peribadi saya tidak suka atau tidak setuju. Tetapi inilah sistemnya. Kita mesti menghormatinya sepenuhnya, kerana jika tidak, sistem itu akan gagal,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata, dalam menguruskan isu utama tadbir urus, peranan sebenar Parlimen dan dewan-dewan perundangan adalah untuk memastikan kerajaan dan ahli Parlimen mendengar dan mewakili aspirasi rakyat dengan penuh integriti dan kehormatan.
“Secara fitrah, kuasa cenderung untuk merosakkan, dan kuasa mutlak merosakkan secara mutlak. Ini bermakna mereka yang berkuasa mesti sentiasa dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan lebih daripada yang lain,” tegasnya lagi.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami