KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar pelincir dan penyedia penyelesaian tenaga dari Malaysia, Glide Technology Sdn Bhd, memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Etu Energias SA dari Angola bagi meneroka peluang kerjasama dalam sektor huluan minyak dan gas menerusi platform bersama mereka, Etu Glide Energy Sdn Bhd.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Etu Energias, Edson Dos Santos, serta Pengasas dan Presiden Kumpulan Syarikat Glide, Datuk Muhazli Muhamad, di Menara MATRADE, di sini, semalam.
Majlis berkenaan disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.
Muhazli berkata kerjasama itu membuktikan syarikat Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa bukan sahaja melalui produk, malah menerusi kepakaran yang dimiliki.
"Kerjasama ini dibina melalui satu penghantaran demi satu penghantaran. Perjanjian hari ini membuktikan bahawa syarikat Malaysia mampu bersaing di luar negara bukan sahaja dengan produk, tetapi juga dengan kepakaran.
"Kami bangga mengambil langkah seterusnya bersama Etu Energias, dan kami komited untuk jangka panjang," katanya pada majlis berkenaan.
Sementara itu, Edson berkata, Malaysia telah berjaya membangunkan industri tenaga yang kukuh berasaskan bakat tempatan dan pihaknya yakin kerjasama dengan Glide dapat menyokong aspirasi pembangunan sektor tenaga Angola.
"Glide telah menjadi rakan yang boleh kami harapkan sejak pesanan pertama kami. Malaysia telah membina industri tenaga negara yang kukuh dengan bakat tempatan, dan kami gembira dapat berkembang bersama rakan Malaysia yang berkongsi wawasan jangka panjang kami untuk Angola," katanya.
Dalam pada itu, Ewon berkata, kerjasama berkenaan membuktikan syarikat Malaysia mempunyai keupayaan untuk berkembang ke pasaran antarabangsa dengan gabungan kemahiran serta rakan strategik yang tepat.
"Kerjasama seperti ini menunjukkan bahawa syarikat Malaysia, dengan kemahiran dan rakan kongsi yang tepat, mampu berjaya jauh di luar negara.
"Saya menggalakkan kedua-dua syarikat untuk menterjemahkan perjanjian ini kepada projek konkrit yang membina kemahiran dan peluang di kedua-dua negara," ujarnya.
Kerjasama ini merupakan kesinambungan hubungan yang bermula pada 2021 apabila Glide memenuhi keperluan bekalan pelincir Etu Energias di Luanda, Angola.
Kedua-dua syarikat telah merekodkan hampir 100 penghantaran pelincir berjenama Etu yang dikeluarkan di Malaysia sebelum bersetuju membangunkan loji pengeluaran pelincir di Luanda pada 2024.
Menerusi MoA berkenaan, kedua-dua syarikat akan meneroka peluang di sepanjang rantaian nilai sektor huluan minyak dan gas dengan menggabungkan pengalaman operasi Etu Energias di Angola serta kepakaran Glide dalam bidang kejuruteraan, marin dan tenaga.
Platform Etu Glide Energy akan digunakan untuk menilai, menyusun dan membangunkan peluang perniagaan yang dikenal pasti.
Bagi Malaysia, perjanjian ini membuktikan kemampuan syarikat tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan menawarkan bukan sahaja produk, malah kepakaran dalam industri minyak dan gas.
Ia selaras dengan usaha negara memperkukuh eksport barangan dan perkhidmatan sektor tersebut.
Bagi Angola yang merupakan antara pengeluar minyak utama di Afrika, perjanjian ini turut menyokong peningkatan penyertaan tempatan serta pembangunan kapasiti dan keupayaan tenaga kerja dalam industri tenaga.