DUNIA
Asia Pasifik perlukan grid lebih kukuh, tenaga bersih susulan peningkatan penggunaan - APSEC

Asia Pasifik perlukan kerjasama dalam bidang tindak balas permintaan, penambahbaikan kecekapan tenaga dan pelaksanaan teknologi tenaga teragih. - Gambar Facebook Fadillah Yusof
RANTAU Asia Pasifik sedang mengalami corak penggunaan elektrik baharu yang memerlukan kerjasama dalam bidang seperti tindak balas permintaan, penambahbaikan kecekapan tenaga dan pelaksanaan teknologi tenaga teragih.
Presiden Pusat Tenaga Lestari Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APSEC), Li Zhu berkata, kerjasama ini akan membantu mengoptimumkan peruntukan sumber dan menggalakkan penggunaan tenaga hijau.
"Usaha juga perlu dilakukan untuk menggantikan bahan api fosil dengan tenaga elektrik bersih merentasi pelbagai sektor, dan untuk bersama-sama mencapai penembusan tinggi teknologi canggih dalam pelbagai industri," katanya dalam pembentangan beliau pada Mesyuarat Menteri Tenaga APEC ke-15 (APEC EMM), pada Khamis.
Sesi tematik kedua memfokuskan kepada kepentingan penstabilan grid sebagai prasyarat untuk penyepaduan yang berkesan.APSEC, yang ditubuhkan sebagai sebahagian daripada tindak balas aktif kerajaan China terhadap "Inisiatif Perkongsian Perbandaran Asia-Pasifik" pemimpin APEC, memainkan peranan penting dalam menggalakkan penggunaan tenaga mampan di rantau ini.
APEC EMM ialah mesyuarat peringkat menteri di bawah APEC dan kesinambungan sesi sebelumnya yang diadakan di Lima, Peru, tahun lepas.
Antara agenda utama adalah perbincangan mengenai dasar dan inisiatif dalam sektor tenaga, serta usaha menggalakkan kerjasama dan pelaburan dalam kalangan ekonomi APEC.
Korea Selatan menganjurkan mesyuarat tahun ini di bawah tema "Mempercepatkan Tenaga Mampan, Mampu Milik, Terjamin dan Inovatif untuk Masa Depan yang Makmur."
Li berkata, asas sistem kuasa bersih masih lemah, dengan bahan api fosil tradisional terus mendominasi.
"Walaupun peningkatan ketara tenaga boleh baharu, pada 2023, bahan api fosil masih menyumbang 62.4 peratus daripada penjanaan elektrik dan kekal sebagai sumber kuasa utama dalam kebanyakan ekonomi.
"Berikutan penangguhan menaik taraf infrastruktur sedia ada dan kemudahan penyimpanan tenaga yang tidak mencukupi, pembangunan tenaga boleh baharu di beberapa ekonomi sedang pesat membangun masih di peringkat awal, dan kapasiti sokongan sistem tidak mencukupi untuk memastikan alternatif tenaga fosil yang terjamin," katanya.
Li berkata, kehilangan grid kuasa dan infrastruktur yang uzur mengekang kecekapan sistem, manakala rangkaian pengedaran dan sistem kuasa luar bandar yang lemah menyekat sambungan grid yang cekap bagi tenaga boleh dibaharu dan penghantaran berkualiti tinggi,
Oleh itu, APSEC mencadangkan agar usaha dilakukan untuk menjalankan kerjasama penyimpanan tenaga di wilayah yang mempunyai pembangunan tenaga boleh baharu pesat, selaras dengan ciri penjanaan dan beban ekonomi individu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami