Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Antara kenangan dan FYP...

Ketika ini, lebih 60 peratus jemaah haji Malaysia sudah berada di Mekah. Foto Astro AWANI / Hilal Azmi
Antara jemaah haji yang dilihat merakamkan foto kenangan mereka di hadapan Kaabah seusai mengerjakan tawaf. - Gambar Astro AWANI/ HILAL AZMI

MEKAH: Sesungguhnya mengerjakan Haji itu satu perkara yang amat signifikan dalam kehidupan seorang Muslim.

Bagi rakyat Malaysia, proses menyempurnakan rukun Islam kelima itu mengambil masa yang agak panjang (puratanya bagi jemaah Haji Muasasah sekitar 40 hingga 50 hari).

Waktu yang ada di Tanah Haram biasanya dimanfaatkan sebaiknya jemaah haji Malaysia untuk meneroka keindahan Masjidil Haram (yang ada lebih 100 pintu masuk).

Pada masa sama mereka juga akan meneroka tempat menarik yang ada di kawasan sekitar termasuklah lokasi bersejarah membabitkan sirah Rasulullah SAW serta sahabat dan keluarga baginda.

Akan tetapi, dunia yang serba canggih ini turut ‘mendesak’ jemaah haji Malaysia untuk tidak ketinggalan menjadikan peluang ini untuk mengemas kini akaun media sosial mereka.

Ada antara jemaah yang ditemui memberitahu, selama ini akaun media sosial mereka tidak pernah dikemas kini kerana terlalu sibuk dengan aktiviti harian.

“Bila nak pergi haji, saya pun ‘update’ la akaun Facebook, dah lima tahun tak ‘update’ apa-apa,” kata Samsudin, salah seorang daripada jemaah haji Malaysia.

Sebetulnya, selepas lima tahun menyepi dari akaun media sosial itu menemukan Samsudin dengan sahabat lama yang sudah berdekad tidak bersua.

Samsudin percaya, ada kebaikannya juga akaun media sosial itu, khususnya kembali memanjangkan silaturrahim..

“Alhamdulillah, asalnya saya nak ‘update’ untuk kenang-kenangan saja, tak sangka pula dapat jumpa kawan lama saya ni,” katanya selepas bersalaman dan memeluk kawan lama yang baru ditemui di kafe berdekatan maktab penginapannya di Hotel Abraj Janadriyah, Mekah.

Malah, penyimpanan ‘kenangan digital’ melalui Instagram dan TikTok juga tidak kurang meriahnya.

Image
Ketika ini, lebih 60 peratus jemaah haji Malaysia sudah berada di Mekah. Foto Astro AWANI / Hilal Azmi
Ketika ini, lebih 60 peratus jemaah haji Malaysia sudah berada di Mekah. - Gambar Astro AWANI/ HILAL AZMI

Ada beberapa jemaah wanita ditemui memberitahu mereka akan berusaha membuat ‘travelog haji’ masing-masing sebagai simpanan ‘kenangan digital’ mereka ketika menunaikan haji untuk musim ini.

“Senang sikit ‘update’ video kat Insta ni, tahun depan boleh tengok balik kenangan-kenangan yang kami cipta bersama kat sini,” jelas Rokiah, jemaah haji Malaysia yang berasal dari Kedah.

Akan tetapi, saya sempat mengenal pasti beberapa individu ‘ternama’ yang digelar sebagai pempengaruh media sosial yang turut sama mengerjakan haji tahun ini.

Kebanyakan mereka mengambil pendekatan untuk membuat kemas kini yang ‘minimum’ berbanding hari-hari biasa mereka memandangkan mahu fokus kepada ibadah di samping memanfaatkan sebaiknya fadhilat berada di Tanah Suci Mekah.

Tidak kurang juga yang dilihat terus berusaha mengemas kini akaun mereka sebanyak mungkin melalui video petua dan tip untuk menjalani kehidupan di Mekah.

Namun, di sebalik semua itu, ada satu perkara yang tidak dapat dinafikan.

Menurut laporan media tempatan Arab Saudi, kadar penggunaan internet jemaah haji di Mekah dan Madinah ketika musim haji tahun ini meningkat kepada 1GB data sehari bagi setiap seorang jemaah, satu angka yang cukup untuk menggambarkan betapa eratnya hubungan jemaah masa kini dengan dunia digital, walaupun sedang berada di bumi yang paling suci.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 12.4 peratus berbanding tahun lalu yang mencatatkan penggunaan sekitar 876MB data sehari bagi setiap seorang jemaah.

Peningkatan ini, menurut para penganalisis, sebahagian besarnya didorong oleh lonjakan penggunaan kandungan video pendek dan penstriman langsung, dua format yang menjadi tulang belakang platform seperti TikTok dan Instagram Reels hari ini.

Angka-angka ini bukan sekadar statistik. Ia adalah cerminan kepada perubahan cara manusia menghayati pengalaman kerohanian mereka.

Mungkin itulah yang paling menarik tentang bagaimana media sosial berfungsi di musim haji ini.

FYP atau ‘For You Page’ direka untuk menghidangkan kandungan yang mungkin anda sukai, dikira dan disusun oleh algoritma yang tidak pernah tidur, yang memahami citarasa anda lebih daripada anda sendiri kadang-kadang. Ia satu mesin yang hidup, yang sentiasa bergerak, sentiasa mencari apa yang wajar ditonton seterusnya.

Tetapi di Mekah, sesuatu yang luar biasa berlaku. Apa yang ‘tersiar’ bukan semata-mata untuk tatapan orang lain. Ia untuk diri sendiri, untuk diri yang akan duduk semula di hadapan skrin itu bertahun-tahun kemudian, mungkin sudah tua, mungkin sudah berubah, dan tersenyum perlahan apabila melihat semula detik-detik yang pernah dirasai.

Samsudin tidak membuat kemas kini untuk viral. Ia bermula dengan niat yang paling ringkas iaitu sekadar kenangan. 

Namun, Allah SWT mengaturkan sesuatu yang lebih indah melalui satu kemaskini yang sederhana itu.

Rokiah pula tidak merakam travelog hajinya untuk nombor tontonan atau jumlah pengikut. 

Ia adalah arkib peribadi, satu koleksi saat yang dia tahu, jauh di sudut hatinya, tidak akan dapat diulangi.

Di sinilah platform itu, tanpa disedari, melakukan sesuatu yang jauh lebih bermakna daripada sekadar menyebarkan kandungan kepada dunia. Ia menjadi cermin.

Dan di Tanah Suci, di bumi yang sudah sekian lama menjadi saksi kepada jutaan perjalanan manusia, cermin itu memantulkan sesuatu yang jauh lebih dalam daripada sekadar wajah yang ingin dilihat orang ramai.

Ia memantulkan siapa kita dan mengapa kita datang ke sini.

Dan tidak ada algoritma di dunia ini yang boleh mengaturkan sesuatu yang lebih sempurna daripada itu.


* Hilal Azmi merupakan Ketua Editor Media Sosial Astro AWANI yang ketika ini berada di Mekah untuk liputan operasi Haji 1447H bersama Tabung Haji.

 

 

Must Watch Video