Skip to main content

Dunia

Lelaki didakwa buat lebih 1,000 panggilan senyap kepada polis

41574169921_Telefon.jpg
Seorang lelaki berusia 37 tahun akan didakwa di mahkamah hari ini selepas dipercayai membuat lebih 1,000 panggilan senyap ke talian hotline polis dalam tempoh seminggu. - Gambar hiasan

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 37 tahun akan didakwa di mahkamah hari ini selepas dipercayai membuat lebih 1,000 panggilan senyap ke talian hotline polis dalam tempoh seminggu.

Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media pada Selasa memaklumkan, pihaknya menerima sebanyak 1,035 panggilan daripada lelaki berkenaan melalui beberapa talian hotline pusat kejiranan polis antara 21 hingga 28 April lalu.

“Lelaki itu mengambil langkah yang terancang untuk menyembunyikan identitinya, termasuk menggunakan nombor luar negara untuk membuat panggilan serta berdiam diri sepanjang panggilan dibuat,” menurut kenyataan SPF.

Susulan siasatan di lapangan, pegawai dari Divisyen Polis Woodlands berjaya mengenal pasti identiti lelaki terbabit sebelum menahannya pada 11 Mei.

Lelaki itu didakwa atas kesalahan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas awam mereka serta menggunakan kad SIM yang didaftarkan menggunakan maklumat peribadi individu lain bagi tujuan aktiviti jenayah.

“Polis memandang serius perbuatan individu yang membuat panggilan senyap atau palsu ke talian hotline polis sehingga menghalang pelaksanaan tugas, dan kami tidak akan teragak-agak untuk mengesan serta mendakwa individu terbabit di mahkamah apabila perlu,” menurut SPF.

Jika sabit kesalahan menghalang penjawat awam, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda maksimum S$2,500 (AS$1,960), atau kedua-duanya.

Manakala bagi kesalahan menggunakan kad SIM yang didaftarkan dengan maklumat peribadi orang lain untuk aktiviti jenayah, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda maksimum S$10,000, atau kedua-duanya sekali. - CNA

Must Watch Video