KUALA LUMPUR: Aspek pembangunan psikososial kanak-kanak yang terkesan akibat kezaliman dan serangan rejim Zionis merupakan keutamaan yang diberikan dalam fasa pasca perang.

Panel Penasihat Khas MERCY Malaysia, Norazam Abu Samah berkata pelbagai program dijalankan dengan pasukan Malaysia dihantar masuk ke sekolah-sekolah di Palestin.

“Kita jayakan program untuk tempoh setahun melibatkan 10 pasukan turun ke sekolah-sekolah untuk adakan aktiviti berkaitan dengan psikososial ini. Kita panggil pembangunan psikososial supaya mereka mampu bangkit semula dan melupakan peristiwa berdarah lampau.

“Kita nak melihat program yang boleh kita selaraskan sebaik sahaja perang ini berlaku dan hal ini boleh dilihat sebagai antara perkara penting, besar dan diterima sebagai keperluan utama untuk pembangunan psikologi kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Jelasnya, ketika ini penempatan sementara yang dikendalikan oleh Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) majoritinya dihuni oleh kanak-kanak.

Menurut Norazam sebahagian daripada mereka masih boleh menjalani kehidupan ceria dan bermain seperti biasa.

Manakala sebahagian yang lain menjalani rawatan di hospital akibat cedera dan boleh menjejaskan proses pendewasaan pada masa akan datang.